Ketua Polis Terengganu, Datuk Mazli Mazlan
Ketua Polis Terengganu, Datuk Mazli Mazlan
Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Terengganu: Tiga pemilik syarikat elektrik di daerah ini menjadi mangsa penipuan pembelian alat janakuasa mudah alih membabitkan kerugian keseluruhan hampir RM100,000.

Ketua Polis Terengganu Datuk Mazli Mazlan berkata, kejadian bermula apabila tiga mangsa termasuk seorang wanita berusia 30 hingga 60 tahun menerima panggilan daripada suspek pada 19 dan 21 Mac lalu.

Menurutnya, suspek yang memperkenalkan diri sebagai Mohd Izuddin dari Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kuala Nerus memaklumkan berminat untuk membeli peralatan milik syarikat itu.

Katanya, kesemua mangsa memberitahu tidak mempunyai bekalan produk terbabit sebelum suspek mencadangkan nama pembekal yang boleh menyediakan barangan berkenaan bagi pihak syarikat mangsa.

"Mangsa yang terpedaya menghubungi pembekal yang dicadangkan lalu membuat tempahan serta bayaran ke akaun yang diminta suspek sebelum meminta barangan itu dihantar ke PPD Kuala Nerus.

"Sebaik dimaklumkan barangan itu sudah dihantar ke Pejabat PPD Kuala Nerus, mangsa tidak menerima pembayaran dijanjikan selain suspek turut memberi pelbagai alasan.

"Hasil semakan yang dibuat di PPD Kuala Nerus mendapati tiada kakitangan bernama Mohd Izzuddin bekerja di situ selain dimaklumkan tiada tender berkaitan alat janakuasa mudah alih dibuat dengan kerugian keseluruhan bernilai RM95,136," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dalam pada itu, Mazli berkata, sebanyak 108 laporan membabitkan kes jenayah komersial diterima dalam tempoh seminggu bermula 24 Mac lalu berbanding hanya 102 laporan pada minggu sebelumnya.

Menurutnya, daripada jumlah itu, sebanyak 27 kertas siasatan dibuka membabitkan kerugian lebih RM400,000.

"Daripada 27 kertas siasatan dibuka, tiga daripadanya membabitkan kes penipuan pembelian janakuasa mudah alih membabitkan kerugian RM95,136.

"Justeru, polis mengingatkan orang ramai untuk berhati-hati sekiranya menerima sebarang tawaran dan membuat semakan sebelum bayaran dibuat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 Mac 2024 @ 3:23 PM