Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Terengganu: Terjerat dengan penipuan jejaka kononnya dari Norway yang dikenali melalui laman sosial Facebook, seorang wanita warga emas lesap RM24,000

Ketua Polis Terengganu, Datuk Mazli Mazlan berkata kejadian bermula apabila seorang wanita berusia 69 tahun berkenalan dengan lelaki warganegara Norway melalui aplikasi Facebook sejak September 2023.

Menurutnya, lelaki terbabit memaklumkan bahawa dia adalah seorang jurutera petroleum dan sedang mengalami masalah enjin kapal di tengah laut.

"Mangsa diminta untuk membayarkan baki bayaran enjin kapal yang baharu sebanyak RM50,000 dan mangsa yang yakin dengan suspek membuat pindahan deposit tunai sebanyak RM24,000 ke dalam akaun di pejabat Pos Laju Kuala Terengganu pada 20 Mac lalu.

"Pada keesokan harinya, mangsa cuba membuat pindahan deposit tunai kali kedua sebanyak RM24,000 di pejabat pos namun dinasihati kakitangan terbabit bahawa mangsa menjadi mangsa penipuan sebelum dia membuat laporan polis pada hari yang sama," katanya.

Sementara itu Mazli berkata sebanyak 102 laporan membabitkan kes jenayah komersial dalam tempoh seminggu bermula 17 Mac lalu berbanding hanya 87 laporan pada minggu sebelumnya.

Menurutnya, daripada jumlah itu, sebanyak 27 kertas siasatan dibuka membabitkan kerugian sebanyak RM214,003.54.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Mac 2024 @ 3:11 PM