PENUNGGANG motosikal yang menyertai kembara ke Arab Saudi, P Tanabalan. FOTO ihsan P Tanabalan
PENUNGGANG motosikal yang menyertai kembara ke Arab Saudi, P Tanabalan. FOTO ihsan P Tanabalan
Noor Hidayah Tanzizi


Kuala Lumpur: "Saya ikut kembara ini kerana mahu melihat budaya di Madinah dan tahu individu bukan Islam memang tidak dibenarkan ke Makkah dan tanah haram serta sangat menghormatinya," kata P Tanabalan, penunggang motosikal yang menyertai kembara ke Arab Saudi.

Tanabalan, 37, bersama 18 individu lain termasuk suami isteri, Azwa Ahmad, 52, dan Zakiamin Harun, 56, memulakan kembara itu di Bandar Seri Putra, Kajang pada 20 Mac lalu.

Pemuda menunggang motosikal Honda RS 150cc itu berkata, dia suka menjelajah melihat 'dunia' luar termasuk melihat budaya dan tempat ibadah agama lain sebagai pengalaman hidup serta menambah ilmu pengetahuannya.

Menurutnya, dia aktif menunggang motosikal sejak 10 tahun lalu secara solo dan berkumpulan menyifatkan kembara kali ini adalah misi pertama yang lebih jauh dan mempunyai cabaran tersendiri, namun menyeronokkan.

"Saya mahu menjelajah semua negara dan tidak memandang perbezaan agama sebagai halangan kerana saya menghormati peraturan seperti ada lokasi tidak dibenarkan orang bukan Islam masuk, kita tidak akan pergi. Saya hanya ke Madinah saja untuk melihat bangunan dan budaya orang Arab.

"Sebelum ini juga saya sudah biasa melawat tempat ibadah agama lain seperti masjid, gereja dan tokong Buddha untuk melihat tempatnya dan menambah pengetahuan kerana kita hidup di Malaysia berbilang kaum dan agama mesti saling menghormati," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Katanya, setiap kembara terutama bersama kumpulan memerlukan sikap saling bertolak-ansur serta membantu dan itu juga dilakukan dalam kembara kali ini apabila dia menjaga kenderaan dan barangan rakan lain ketika mereka solat.

"Tiada masalah untuk kami, apabila tiba masa rakan Muslim solat saya akan bantu jaga dan begitu juga bila tiba giliran saya, malah di sini juga saya akan ikut rakan untuk mencari makanan halal.

"Kembara ini juga beri peluang kepada saya untuk berjumpa abang saudara di Kuwait dan Arab Saudi, malah abang di Kuwait juga sudah bersedia menyambut pasukan kami dan menyediakan tempat tinggal secara percuma," katanya.

Menurut Tanabalan, dia sudah menunggang motosikal ke Borneo turut merangkumi Kalimantan, Indonesia dan Brunei, Singapura, Laos, Vietnam, Thailand dan China.

"Saya gembira dengan kembara ini dan keluarga juga tidak menghalang biarpun tahu lokasi terakhirnya adalah Madinah, malah rakan saya yang juga beragama Hindu turut menaja penyelenggaraan motosikal saya untuk kembara ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 Mac 2024 @ 3:09 PM