Azwa dan suami, Zakiamin menaiki Proton Wira melakukan jelajah ke tanah suci.
Azwa dan suami, Zakiamin menaiki Proton Wira melakukan jelajah ke tanah suci.
Noor Hidayah Tanzizi


Kuala Lumpur: Nekad mahu keluar dari zon selesa membawa suami isteri ini mengembara ke tanah suci Makkah sejauh lebih 13,000 kilometer (km) merentasi tujuh negara menggunakan Proton Wira berusia 26 tahun.

Azwa Ahmad, 52, dan suami Zakiamin Harun, 56, memulakan kembara itu di Bandar Seri Putra, Kajang bersama 17 rakan termasuk seorang berbangsa India, P Tanabalan bermula 20 Mac lalu dan kini sudah berada di China.

Kumpulan itu menggunakan tiga kereta, tiga pacuan empat roda serta empat motosikal kapcai dengan perbelanjaan sendiri dan dijangka tiba di Arab Saudi pada hujung April atau awal Mei ini.

Azwa berkata, kembara adalah untuk misi menunaikan umrah dan haji dengan pengalaman yang jauh berbeza berbanding sebelum ini melalui penerbangan.

"Kembara ini disertai 19 orang termasuk wanita yang menaiki dua Proton Wira, sebuah Perodua Axia, tiga pacuan empat roda dan empat motosikal.

"Kami menaiki Proton Wira keluaran 1996 yang dibeli Januari lalu khas untuk kembara ini dan lebih unik ialah tempat duduk pemandu di sebelah kiri," katanya yang kini dalam perjalanan menuju ke Shangri-la, China ketika dihubungi Harian Metro.

Menurutnya, perjalanan ke Makkah dijangka melalui laluan sejauh antara 13,000 hingga 14,000 km merentasi Thailand, Laos, China, Nepal, Pakistan, Iran dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).

"Alhamdulillah setakat ini perjalanan kami dipermudahkan dan lancar. Kami dibenarkan berada di China selama 10 hari saja dan perlu segera menuju ke Nepal, kemungkinan kami akan menyambut Aidilfitri di India.

"Hanya tujuh orang termasuk kami akan menunaikan haji, malah saya dan suami juga sudah mendaftar sebagai petugas haji pakej swasta manakala yang lain buat umrah dan Tanabalan akan ke Madinah saja untuk melawat," kata pengusaha tadika itu.

Ibu kepada seorang anak itu berkata, kembara itu tidak dianggap sebagai jalan sukar untuk menunaikan melakukan umrah dan haji, sebaliknya suami mengambil pendekatan berbeza untuk pengalaman baharu.

"Apabila saya tahu kumpulan ini ada perancangan ke Makkah menggunakan jalan darat saya teruja untuk menyertainya dan ajak suami. Saya cakap dengan suami yang kami belum ada pengalaman seperti ini dan usia juga bukan muda lagi jadi mungkin ini peluang Allah SWT beri kepada kami.

"Kami selalu kembara dengan 'motorhome' dan mulanya mahu pandu kenderaan itu tetapi sebab ia besar dan kami perlu lalu banyak negara serta ada laluan yang tidak sesuai itu yang kami pilih pandu kereta saja supaya perjalanan lebih mudah.

"Saya mahu keluar daripada zon selesa dan mahu merasai cabaran mengembara untuk melihat bumi Allah seperti orang cakap jauh perjalanan luas pemandangan, malah kembara ini membuatkan kami lebih mensyukuri nikmat Allah," katanya.

Berkongsi pengalaman berpuasa ketika kembara itu, Azwa berkata, setiap negara dilalui mempunyai cabaran tersendiri terutama di Thailand apabila mereka terpaksa berdepan cuaca panas hingga pernah mencecah 40 darjah celcius.

"Sebagai musafir memang boleh berbuka puasa tetapi kami pilih untuk meneruskannya kerana kita sedar di zaman lalu cabaran untuk ke tanah suci lebih besar dengan menunggang unta saja dan laluan yang lebih mencabar.

"Apabila di kawasan sempadan Laos - China cuaca pada waktu malam pula sejuk dan kami perlu bersedia kerana bermula hari ini cuaca di China akan semakin sejuk tetapi kami 'enjoy' dengan kembara ini," katanya mengakui sukar mendapatkan makanan halal namun mereka membawa bekalan sendiri.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 Mac 2024 @ 3:19 PM