Keadaan ambulans dipandu seorang petugas Kementerian Kesihatan (KKM) yang terjunam dalam gaung sedalam 3.5 meter di Kilometer 52 Jalan Kuala Lumpur-Ipoh, dekat Rasa, pagi tadi. FOTO IHSAN POLIS
Keadaan ambulans dipandu seorang petugas Kementerian Kesihatan (KKM) yang terjunam dalam gaung sedalam 3.5 meter di Kilometer 52 Jalan Kuala Lumpur-Ipoh, dekat Rasa, pagi tadi. FOTO IHSAN POLIS
Amirul Aiman Hamsuddin


Hulu Selangor: Seorang petugas Kementerian Kesihatan (KKM) nyaris maut sejurus ambulans dipandu terjunam ke dalam gaung sedalam 3.5 meter di Kilometer 52, Jalan Kuala Lumpur-Ipoh, dekat Rasa, di sini.

Dalam kejadian jam 9.40 pagi tadi, lelaki berusia lingkungan 30-an itu hanya mengalami luka di siku kanan.

Difahamkan, ketika kemalangan tiada pesakit berada di dalam ambulans berkenaan.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Ahmad Faizal Tahrim berkata, mangsa dalam perjalanan dari Klinik Kesihatan Rasa ke Klinik Kesihatan Kalumpang.

"Setibanya di lokasi kejadian, pemandu ambulans disyaki hilang kawalan dan terbabas ke kiri jalan sebelum terjunam dalam gaung.

"Siasatan lanjut mendapati lokasi kemalangan berhampiran dengan lintasan kereta api," katanya ketika dihubungi semalam.

Ahmad Faizal berkata, mangsa dibawa ke Klinik Kesihatan Rasa untuk mendapatkan rawatan.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Mac 2024 @ 3:48 PM