Nurul Hidayah Bahaudin

Kuala Lumpur: Pusat beli-belah, IOI City Mall di Putrajaya terpaksa ditutup, hari ini, susulan gangguan bekalan elektrik yang dialami sejak pagi tadi.

Pusat beli-belah berkenaan dalam kenyataan di akaun media sosial memaklumkan pihak Tenaga Nasiona Berhad (TNB) mengenal pasti beberapa kerosakan yang menyebabkan masalah itu.

Katanya, setakat ini, pihak TNB sudah mengenal pasti beberapa kerosakan dan sedang berusaha untuk membaiki kerosakan berkenaan.

"Bagaimanapun, TNB tidak dapat memberi jaminan tempoh masa bekalan kuasa dapat dipulihkan akibat kerosakan berkenaan.

"Justeru itu, demi kepentingan semua penyewa dan pelanggan, pusat beli-belah ini tidak akan beroperasi hari ini.

"Ia bagi membolehkan TNB mempunyai lebih masa untuk menjalankan kerja-kerja baik pulih," katanya.

IOI City Mall
IOI City Mall

Terdahulu, IOI City Mall memaklumkan pihaknya berdepan masalah bekalan elektrik yang terputus menyebabkan premis berkenaan ditutup sejak pagi tadi.

Menurut kenyataan awal pusat beli-belah itu, bekalan elektrik dijangka pulih antara jam 1 tengah hari hingga 5 petang ini.

Bagaimanapun, bekalan elektrik belum berjaya dipulihkan meskipun kerja-kerja baik pulih sedang giat dijalankan oleh pihak TNB sejak pagi tadi.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Mac 2024 @ 5:41 PM