ANGGOTA bomba dan penyelamat memadam kebakaran di pusat membeli-belah Mid Valley Megamall, semalam. FOTO Bernama
ANGGOTA bomba dan penyelamat memadam kebakaran di pusat membeli-belah Mid Valley Megamall, semalam. FOTO Bernama
Nor Azizah Mokhtar


Kuala Lumpur: Pusat beli-belah Mid Valley Megamall, di sini, kembali beroperasi hari ini selepas ditutup akibat kebakaran, semalam.

Mid Valley City dalam kenyataan memaklumkan pusat beli-belah itu dibuka seperti biasa pada 10 pagi tadi.

"Berikutan kebenaran daripada pihak berkuasa berkaitan pembukaan semula semua premis di Mid Valley City, kami dengan sukacitanya mengumumkan bahawa Mid Valley Megamall dibuka seperti biasa dari 10 pagi hingga 10 malam hari ini.

"Kami tetap komited untuk menyediakan persekitaran yang selamat untuk pekerja, penyewa dan pelawat," katanya.

Menerusi kenyataan sama, orang ramai dan pengunjung boleh mendapatkan maklumat terkini, pengumuman dan acara di pusat-beli belah itu menerusi media rasmi Mid Valley Megamall.

Semalam, media melaporkan sebuah bilik pencawang masuk utama (PMU) Tenaga Nasional Berhad (TNB) di pusat beli-belah itu terbakar kira-kira 10.30 pagi.

Kebakaran menyebabkan gangguan bekalan kepada pengguna di kawasan terhad sekitar Mid Valley Megamall dan sebahagian Desa Pantai.

Bekalan elektrik kepada sebahagian besar pengguna berjaya dipulihkan seawal empat minit gangguan berlaku dan bekalan pulih sepenuhnya sekitar 12.30 tengah hari, semalam.

Siasatan awal bomba mendapati kebakaran dipercayai berpunca daripada minyak penyejuk kabel dalam pencawang utama TNB yang terlampau panas.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Mei 2023 @ 2:14 PM