MELUNCUR ais aktiviti yang sesuai untuk seisi keluarga.
MELUNCUR ais aktiviti yang sesuai untuk seisi keluarga.
IBU bapa dapat memantau anak mereka melakukan aktiviti riadah.
IBU bapa dapat memantau anak mereka melakukan aktiviti riadah.
MELIHAT hidupan laut yang pelbagai di Aquaria KLCC cukup mengujakan.
MELIHAT hidupan laut yang pelbagai di Aquaria KLCC cukup mengujakan.
Oleh Suliati Asri


Bercuti bersama anak-anak sememangnya sesuatu yang cukup menyeronokkan. Saat itu jugalah ibu bapa dapat meluangkan masa berkualiti dek kekangan kesibukan bekerja setiap hari.

Saban tahun, membawa mereka ke destinasi percutian yang diidamkan tidak kira di dalam negara atau luar negara adalah satu kemestian setiap kali cuti persekolahan akhir tahun.

Namun, dengan keadaan cuaca yang tidak menentu, ditambah kos semakin membebankan dan kekangan kerja di pejabat yang tidak pernah selesai, percutian dirancang terpaksa ditangguh atau dibatalkan terus.

Anak-anak pastinya kecewa dengan keputusan yang diambil. Ada juga yang mulai merajuk kerana ibu dan bapa asyik sibuk dengan kerja masing-masing.

Justeru, bagi me­ngambil hati mereka atau menggantikan percutian yang terpaksa dibatalkan, membawa anak-anak melakukan aktiviti riadah di pusat beli-belah pasti menyeronokkan.

Jika dulu, pusat beli-belah ini dikunjungi apabila ingin membeli barang seperti baju, peralatan rumah atau mungkin mahu menjamu selera saja.

Namun kini, ia sudah menjadi pusat sehenti bagi masyarakat setempat melakukan pelbagai aktiviti riadah.

Pusat beli-belah juga kini menjadi lokasi alternatif untuk membawa anak bercuti terutama pada musim hujan ini.

Peniaga, Mohd Khairi Kutupdin berkata, kini pusat beli-belah bukan lagi hanya sekadar tempat untuk membeli-belah, tetapi menawarkan pelbagai aktiviti yang sesuai untuk seisi keluarga.

Katanya, saban tahun, dia sering membawa anak-anak bercuti, namun dengan cuaca yang tidak menentu dan kos semakin meningkat, beriadah di pusat beli-belah ini sangat berbaloi.

“Bawa anak beriadah di pusat beli-belah ini sangat menyenangkan kerana seisi keluarga boleh melakukan pelbagai aktiviti yang disukai.

“Anak-anak pergi bermain di tempat yang mereka inginkan dan kita sebagai ibu dan bapa, boleh mencari barangan atau berjalan-jalan,” katanya.

Mohd Khairi berkata, restoran dan kemudahan awam lain yang turut tersedia lebih memudahkan urusan.

Bersempena sambutan Krismas pada 25 Disember ini, meluncur salji antara aktiviti ketika itu. Namun, dengan keadaan cuaca di negara kita yang tidak bersalji, meluncur

di gelanggang luncur ais pastinya cukup menye­ronokkan.

Bersaiz Olimpik, aktiviti riadah yang mengujakan ini pastinya dapat dirasai saat berkunjung ke IOI City Mall Putrajaya.

Terletak di selatan Lembah Klang, IOI City Mall Putrajaya antara pusat beli-belah terbaru yang menyediakan pusat riadah menyeronokkan dan cukup mencabar.

Selain gelanggang luncur ais, aktiviti riadah yang mencabar kekuatan mental dan fizikal pengunjungnya adalah District 21.

Hanya RM75 seorang, anda berpeluang mencabar diri melakukan semua aktiviti yang di situ.

Malah aktiviti riadah bersama anak-anak boleh diteruskan dengan pertunjukan air pancuran berirama di pintu masuk utama pusat beli-belah ini yang diberi nama The Symphony Walk.

Menariknya, di sekitar The Symphony Walk itu, terdapat beberapa tempat khusus untuk pengunjung berehat sambil mendengar alunan muzik mengiringi pancuran air yang cukup mendamaikan.

Selesai beriadah, jamu selera di beberapa restoran yang menyediakan pelbagai hidangan menarik untuk anda.

Suria KLCC juga antara pusat beli-belah yang pastinya memberikan keseronokan beriadah.

Terletak di Menara Berkembar Petronas dengan rekaan unik Suria KLCC menawarkan pelbagai aktiviti riadah yang cukup menarik.

Ingin meneroka sains dan pelbagai aktiviti berkaitan sains, Petrosains, The Discovery Centre nyata membuatkan anak-anak teruja.

Disenaraikan akuarium keempat terbaik di Asia, Aquaria KLCC pula menanti anak anda dengan pelbagai aktiviti hebat.

Terokai perairan tropika eksotik dalam dua aras de­ngan terowong bawah air sepanjang 90 meter.

Menempatkan lebih 20,000 hidupan daratan dan air dari lebih 250 spesies berbeza dalam dan luar negara, anda bukan saja berpeluang melihat hidupan laut ini bebas berenang malah maklumat lengkap berkenaan setiap pameran turut disediakan.

Keunikan susun atur kolam, penerangan yang jelas bagi setiap spesies dan terowong besar memberi peluang pengunjung melihat pelbagai jenis ikan termasuk jerung hidup bebas berenang mengelilingi mereka bagaikan di laut dalam.

Taman KLCC yang menawarkan kolam renang dan taman permainan serta kawasan perkhemahan di tengah bandar.

Tatkala malam menjelma, duduk santai menghadap air pancuran berwarna-warni pasti memukau pandangan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Disember 2015 @ 2:36 PM