Pekerja TNB membaiki kerosakan di  pencawang masuk utama (PMU) Perling, Johor. - Foto tnb.com.my
Pekerja TNB membaiki kerosakan di pencawang masuk utama (PMU) Perling, Johor. - Foto tnb.com.my
Ibrahim Isa


MESKIPUN Tenaga Nasional Bhd (TNB) berjanji masalah bekalan elektrik di sebahagian daerah Johor Bahru yang berlaku sejak 12 Disember lalu, tidak akan berulang, kerajaan negeri menggesa pihak berkenaan mengkaji memberikan pampasan kepada pelanggan yang terjejas.

Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, TNB sudah memaklumkan masalah itu kepadanya dan tindakan sudah diambil agar tidak berulang.

“Soal pampasan antara mereka (pihak terjejas) dengan TNB dan ia perlu dikaji," katanya pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Penyampaian Bantuan Sekolah Tahun 2018 kepada pelajar asnaf di Dewan Muafakat Johor, Bandar Permas Jaya, Johor Bahru, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas gangguan bekalan elektrik di sebahagian Johor Bahru berikutan kerosakan pencawang masuk utama (PMU) Perling.

Terdahulu, TNB dalam kenyataan semalam menyatakan, semua pengguna yang terbabit sejak kelmarin, sudah mendapat semula bekalan elektrik masing-masing.

Pengurus Besar Kanan (Distribution Network), Bahagian Pembahagian, Tenaga Nasional Berhad (TNB), Wan Nazmy Wan Mahmood dilapor berkata, bagaimanapun pusat beli-belah AEON Bukit Indah, Paradigm Mall dan Country Garden masing-masing menggunakan set janakuasa sedia ada dan bekalan dijangka pulih tengah malam ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Disember 2017 @ 6:35 PM