GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Ruwaida Md Zain


Kuala Langat: Polis memberkas seorang lelaki dipercayai menyertai perarakan pengebumian serta insiden pembakaran mercun di persimpangan lampu isyarat berhampiran sebuah pasar raya di Pekan Banting di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd Nor @ Saleh berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam berhubung kejadian pada 2.28 petang.

"Bertindak atas maklumat, polis menangkap seorang lelaki tempatan berusia 28 tahun yang mengambil bahagian dalam perarakan menaiki motosikal tanpa memakai topi keledar.

"Suspek dipercayai bersama beberapa individu bermotosikal lain yang menahan kenderaan awam serta membakar mercun.

"Semakan mendapati suspek yang bekerja sebagai pembantu bengkel di Banting mempunyai tujuh rekod lampau membabitkan kes jenayah dan narkotik.

"Hasil saringan awal urin mendapati, suspek positif dadah jenis Amphetamine dan Methamphetamine," katanya dalam kenyataan hari ini.

Ahmad Ridhwan berkata, suspek kini ditahan di lokap Balai Polis Banting bagi tindakan lanjut.

"Pada masa sama, Bahagian Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Langat turut mengeluarkan tiga saman terhadap suspek berkaitan kesalahan lalu lintas.

"Pihak polis juga sedang giat mengesan dua lagi suspek yang disyaki terbabit dalam kejadian itu," katanya.

Beliau berkata, polis membuka satu kertas siasatan mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 yang memperuntukkan hukuman penjara tujuh tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

"Polis juga membuka dua lagi kertas siasatan atas kesalahan narkotik mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan kesalahan trafik mengikut Seksyen 48 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Mac 2024 @ 4:20 PM