Tangkap layar video tular yang memaparkan suspek meloloskan diri (dalam bulatan) ketika penguatkuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) membuka pintu keretanya. FOTO IHSAN PEMBACA
Tangkap layar video tular yang memaparkan suspek meloloskan diri (dalam bulatan) ketika penguatkuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) membuka pintu keretanya. FOTO IHSAN PEMBACA
Ruwaida Md Zain


Kuala Langat: Polis mengenal pasti dan memburu seorang suspek yang mengingkari arahan pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), supaya memberhentikan kenderaannya, selain melanggar kenderaan JPJ dan orang awam.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd Nor @ Saleh berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kes terbabit daripada penguat kuasa JPJ, 2.45 petang, Isnin lalu.

"Menurutnya, pengadu (penguat kuasa JPJ), ketika kejadian, dia bersama rakannya menjalankan tugas rondaan dan penguatkuasaan di sekitar kawasan Telok Panglima Garang.

"Pada 12.45 tengah hari, semasa berada di Jalan Klang - Banting, pengadu terserempak dengan sebuah Proton Wira yang dalam keadaan mencurigakan

"Pengadu menyalakan lampau beacon dan mengarahkan kereta terbabit berhenti, namun suspek terus melarikan diri," katanya dalam satu kenyataan.

Susulan itu Ahmad Ridhwan berkata, pengadu bertindak mengejar kereta terbabit dan ia berhenti kerana kesesakan lalu lintas.

"Bagaimanapun, suspek bertindak mengundurkan kenderaannya sehingga mengakibatkan pelanggaran dengan sebuah kenderaan JPJ dan dua kereta orang awam.

"Suspek cuba melarikan diri sekali lagi dengan meneruskan pemanduannya, namun terhenti di hadapan sebuah sekolah di Telok Panglima Garang kerana dipercayai kenderaan suspek mengalami kerosakan.

"Pengadu memberhentikan kenderaan di sebelah kanan kenderaan suspek, lalu membuka pintu hadapan sebelah kanan dan mengambil kunci kereta, namun suspek meloloskan diri melalui pintu hadapan sebelah kiri menghala ke kawasan perumahan," katanya.

Susulan laporan itu katanya, polis membuka satu kertas siasatan mengikut Seksyen 188 Kanun Keseksaan atas kesalahan mengingkari perintah yang diisytiharkan oleh penjawat awam.

"Mana-mana individu yang mempunyai maklumat diminta tampil ke balai polis berdekatan atau menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Langat (03-31872222)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Februari 2024 @ 9:43 AM