Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shahrulnizam Jaafar@Ismail melihat barangan yang dirampas daripada penjenayah. FOTO Muhaamad Hafis Nawawi
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shahrulnizam Jaafar@Ismail melihat barangan yang dirampas daripada penjenayah. FOTO Muhaamad Hafis Nawawi
Muhaamad Hafis Nawawi


Petaling Jaya: Dua penjenayah warga asing dipercayai menyasarkan golongan wanita yang ke tempat kerja pada waktu pagi bagi menjalankan kegiatan samun dan ragut di sekitar daerah ini.

Itu modus operandi dua lelaki berusia 40-an yang ditahan jam 7 pagi di kawasan perumahan Kelana Jaya di sini, pada 17 Mac lalu.

Dua suspek itu turut bersubahat dengan rakan senegara iaitu wanita berusia 30-an yang berperanan sebagai orang tengah bagi urusan pajak gadai.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shahrulnizam Jaafar@Ismail berkata, ketika ditahan, kedua-dua suspek gagal menunjukkan dokumen pengenalan diri.

"Polis merampas anak kunci Yamaha bersama cukai jalan, sepasang baju dan seluar, telefon bimbit, topi keledar, sepasang kasut dan motosikal.

"Kita juga turut menemukan sepasang baju, sepasang kasut, topi keledar, barangan kemas dan tiga surat pajak gadai," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya, di sini, hari ini.

Menurutnya, dengan penahanan itu, polis berjaya menyelesaikan enam kes samun di sekitar daerah ini.

"Ketiga-tiga suspek direman tujuh hari untuk siasatan lanjut," katanya.

Dalam kes berasingan, Shahrulnizam berkata, seorang lelaki tempatan berusia 20-an ditahan kerana dipercayai terbabit dalam kes pecah cermin kereta di sebuah rumah di Kelana Jaya di sini, Jumaat lalu.

Menurutnya, siasatan mendapati suspek bergiat aktif sejak sebulan lalu dengan menyasarkan kenderaan yang diparkir di tempat meletak kenderaan yang agak tersorok.

"Pemeriksaan lanjut mendapati suspek yang mempunyai empat rekod lampau berkaitan kes narkotik menjalankan kegiatan itu sejak sebulan lalu.

"Pemeriksaan dalam rumah menemukan dua alat pemain android, pemain DVD, dua kad Smart Tag, 11 touch n go dan telefon bimbit.

"Dengan tertangkapnya suspek, kita berjaya menyelesaikan enam kes pecah cermin kereta di sekitar Kelana Jaya," katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 379/427 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Mac 2024 @ 2:31 PM