LAPORAN terdahulu.
LAPORAN terdahulu.
BERNAMA

Kuala Lumpur: Polis sedang mengesan seorang lagi suspek dipercayai menaiki kereta Perodua Bezza, yang melarikan diri daripada pemeriksaan polis di Jalan Utara menghala ke Cyberjaya, di sini, dua hari lalu.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Mohd Fakhrudin Abd Hamid berkata, setakat semalam hanya dua suspek yang menaiki kenderaan tersebut iaitu seorang lelaki berusia 27 tahun dan seorang wanita, 21, ditahan di Bulatan Taman Tasik Cyberjaya, Sepang.

Beliau berkata, polis juga sedang menyiasat hubungan antara kedua-dua suspek yang ditahan itu dengan suspek ketiga, sama ada rakan jenayah atau sebaliknya.

"Selain itu, siasatan kami juga mendapati suspek lelaki yang berumur 27 tahun itu disahkan positif ganja dan disiasat di bawah Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya kepada Bernama hari ini.

Sementara itu, beliau berkata, anggota unit rondaan bermotosikal yang cedera dirempuh semasa cuba menahan mereka di Jalan PJS6/1 Sungei Way, mengalami kecederaan di bahagian muka dan tangan.

"Anggota polis berkenaan dirawat di Pusat Perubatan Universiti Malaya dan telah keluar pada hari sama," katanya.

Isnin lalu, polis menahan dua individu selepas lebih 20 kereta peronda polis mengejar mereka sejauh kira-kira 50 kilometer, setelah lari daripada pemeriksaan di Jalan Utara, Petaling Jaya menghala ke Cyberjaya, di sini.

Hasil pemeriksaan lanjut, polis menemukan sebilah pisau, sepasang gunting, sepasang sarung tangan, sebuah topi keledar, sekeping kad pengenalan individu lain dan empat keping kad debit dalam kereta tersebut.

Semakan rekod mendapati pemandu lelaki itu mempunyai 11 rekod lampau iaitu enam membabitkan kesalahan jenayah, empat melibatkan kesalahan dadah dan satu rekod masih dikehendaki bersabit kesalahan samun berkumpulan dengan menggunakan senjata, manakala wanita itu pula tidak mempunyai rekod jenayah lampau.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Disember 2023 @ 4:39 PM