BANGUNAN LTAT
BANGUNAN LTAT
Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid


Kuala Lumpur: Kementerian Pertahanan melalui Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) tidak berhasrat untuk menjual pegangan saham LTAT dalam Boustead Plantations (BPlant).

Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, pihak LTAT sedang meneliti pelan masa hadapan BPlant untuk menentukan hala tuju strategik dan melonjakkan lagi prestasi operasi syarikat ke tahap yang lebih tinggi.

"Langkah ini adalah penting untuk meningkatkan nilai tambah dan merealisasikan potensi sebenar BPlant bagi menjadikannya sebagai sebuah aset berdaya saing dan mampu memberikan pulangan yang mampan untuk tempoh jangka masa panjang," katanya dalam jawapan bertulis di Parlimen.

Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan Datuk Dr Radzi Jidin (PN-Putrajaya) sama ada LTAT akan meneruskan hasrat untuk menjual pegangan saham dalam BPlant selepas syarikat itu tidak lagi tersenarai di Bursa Malaysia.

Pada 10 November 2023, LTAT dilaporkan akan mengeluarkan notis berkenaan tawaran pengambilalihan mandatori tanpa syarat bagi semua baki saham dalam BPlant yang belum lagi berada dalam pegangan LTAT pada harga RM1.55.

LTAT berkata, langkah itu dilaksanakan selepas memeterai perjanjian penjualan saham tanpa syarat dengan Boustead Holdings Bhd (BHB) bagi mengambilalih 739,199,966 saham BPlant yang mewakili 33 peratus jumlah saham terbitan BPlant.

LTAT berkata, tawaran itu satu langkah penting ke hadapan dalam keseluruhan penstrukturan dan pemulihan kumpulan syarikat BHB dan dalam mengimbangi semula portfolio pelaburannya untuk meletakkan dana dengan lebih baik berbanding profil risiko pulangan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Mac 2024 @ 8:48 AM