LTAT ditubuhkan pada 1 Ogos 1972 di bawah Akta Tabung Angkatan Tentera 1973 (Akta 101) dengan fungsi utamanya adalah untuk menyediakan faedah persaraan dan faedah lain bagi anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM). FOTO Arkib NSTP
LTAT ditubuhkan pada 1 Ogos 1972 di bawah Akta Tabung Angkatan Tentera 1973 (Akta 101) dengan fungsi utamanya adalah untuk menyediakan faedah persaraan dan faedah lain bagi anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM). FOTO Arkib NSTP
Suzalina Halid

Kuala Lumpur: Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dilaporkan tidak membuat penjejasan nilai terhadap pelaburan dalam syarikat subsidiari berjumlah RM812 juta.

Berdasarkan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) Mengenai Penyata Kewangan Agensi Persekutuan Tahun 2022, syarikat subsidiari itu membabitkan Boustead Holdings Berhad berjumlah RM768 juta dan Pharmaniaga Berhad berjumlah RM44 juta.

Selain itu, pihak audit mendapati penjejasan nilai pelaburan yang tidak dibuat dan pembayaran dividen kepada pencarum berasaskan keuntungan bukan tunai boleh menyebabkan LTAT menghadapi risiko kecairan tunai pada masa hadapan.

"Tindakan itu menyebabkan untung bersih dan pelaburan dalam syarikat subsidiari terlebih nyata, berjumlah RM812 juta," katanya melalui Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) Mengenai Penyata Kewangan Agensi Persekutuan Tahun 2022.

Menurut laporan itu, pada tahun 2022, pelaburan LTAT dalam 13 syarikat subsidiari adalah berjumlah RM5.288 bilion termasuk kos pelaburan dalam Boustead Holdings Berhad berjumlah RM2.550 bilion dan Pharmaniaga Berhad berjumlah RM106 juta.

Katanya, pada 31 Disember 2022, Nilai Aset Ketara Bersih bagi pelaburan dalam Boustead Holdings Berhad adalah sebanyak RM1.783 bilion dan nilai pasaran bagi pelaburan dalam syarikat Pharmaniaga Berhad sebanyak RM62 juta.

"Namun LTAT tidak membuat penjejasan nilai terhadap pelaburan dalam Boustead Holdings Berhad dan Pharmaniaga Berhad masing-masing berjumlah RM768 juta dan RM44 juta.

"Perkara ini menyebabkan untung bersih dan pelaburan dalam syarikat subsidiari terlebih nyata berjumlah RM812 juta," katanya.

LTAT ditubuhkan pada 1 Ogos 1972 di bawah Akta Tabung Angkatan Tentera 1973 (Akta 101) dengan fungsi utamanya adalah untuk menyediakan faedah persaraan dan faedah lain bagi anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Pada tahun 2022, pendapatan LTAT berjumlah RM653 juta dengan peningkatan sejumlah RM139 juta (27 peratus) manakala pada 2021, sebanyak RM514 juta.

Untung bersih LTAT turut meningkat berjumlah RM50 juta (13.1 peratus) kepada RM433 juta pada tahun 2022, manakala 2021 ialah RM383 juta.

LTAT membuat pembayaran dividen tahun 2022 kepada pencarum sejumlah RM476 juta (lima peratus) dengan menggunakan untung bersih dan keuntungan terkumpul.

Pada masa sama, menurut laporan itu, rizab LTAT dilaporkan berbaki negatif RM338 juta pada tahun 2022, RM285 juta pada 2021 dan RM376 juta pada 2020.

"Sehingga 31 Disember 2022, masih terdapat 41 portfolio saham lama belum diambil tindakan dengan kerugian tidak nyata berjumlah RM662 juta yang menyumbang kepada rizab berbaki negatif," katanya.

Sementara itu, menurut laporan berkenaan, LTAT merekodkan keuntungan bukan tunai sebanyak RM189 juta yang digunakan sebagai asas untuk pembayaran dividen tahun 2022 kepada pencarum.

Katanya, pada tahun 2022, LTAT menjual saham Perumahan Kinrara Berhad dan Tanah Sutera Development Sdn Bhd bernilai RM43 juta kepada Perbadanan Perwira Harta Sdn Bhd (PPHSB) dengan balasan saham PPHSB yang bernilai RM232 juta.

"Daripada urus niaga itu, LTAT merekodkan keuntungan bukan tunai sebanyak RM189 juta yang digunakan sebagai asas untuk pembayaran dividen tahun 2022.

"Isu pembayaran dividen berasaskan keuntungan bukan tunai juga dibangkitkan pada tahun kewangan 2021 yang melibatkan keuntungan bukan tunai berjumlah RM224 juta," katanya.

Pihak audit mengesyorkan tindakan penambahbaikan bagi meningkatkan prestasi pelaburan dan keupayaan pembayaran dividen dengan menyemak dan menstruktur semula strategi pelaburan.

Katanya, ia termasuk mempelbagaikan pelaburan dan tidak menumpukan pelaburan dalam syarikat subsidiari bagi mengurangkan risiko pelaburan serta kebergantungan pendapatan.

"Selain itu, pihak audit mengesyorkan supaya LTAT meningkatkan tatakelola pengurusan pelaburan dengan menambah baik polisi pelaburan supaya saham yang mengalami kerugian yang berpanjangan dapat ditangani.

"LTAT juga perlu memastikan asas pengisytiharan dividen berdasarkan keuntungan nyata supaya tidak menjejaskan keupayaan membayar kepada pencarum yang layak pada masa hadapan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Mac 2024 @ 2:16 PM