LTAT muktamad ambil alih Boustead Holdings Berhad.
LTAT muktamad ambil alih Boustead Holdings Berhad.
BERNAMA

Kuala Lumpur: Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) memuktamadkan pengambilalihan Boustead Holdings Berhad (BHB) pada tarikh tutup tawaran semalam.

Dalam satu kenyataan, LTAT berkata pegangan saham LTAT dalam BHB kini berjumlah kira-kira 97.63 peratus, yang membenarkan BHB untuk dinyahsenaraikan dan menggunakan peruntukan pengambilalihan wajib bagi baki saham, sekali gus menjadikannya anak syarikat milik penuh LTAT.

Selaras dengan ini, BHB akan mengambil langkah-langkah yang diperlukan untuk mengemukakan permohonan kepada Bursa Securities bagi mengeluarkan status penyenaraiannya daripada Senarai Rasmi Bursa Securities, selaras dengan perenggan 16.07 Keperluan Penyenaraian.

"Tindakan kami seterusnya adalah untuk meningkatkan usaha penciptaan nilai dengan melaksanakan strategi penjajaran yang lebih baik di antara LTAT dengan semua peringkat di dalam Kumpulan. Model milikan penuh tersebut membolehkan LTAT menggunakan budi bicara sepenuhnya dan mengkaji dengan lebih mendalam mengenai kesulitan yang dihadapi oleh konglomerat tersebut dengan lebih cepat.

"Kami berazam untuk melaraskan semula BHB mengikut objektif pelaksanaan penswastaan ini," kata Ketua Pegawai Eksekutif LTAT Datuk Nazim Rahman.

BHB, yang telah diseneraikan di Bursa Malaysia pada tahun 1961, mempunyai sejarah yang panjang sejak hampir 200 tahun yang lalu.

Sejak penyenaraiannya, ia telah berkembang kepada sektor utama dalam ekonomi Malaysia termasuk perladangan, hartanah dan perindustrian, farmaseutikal, industri berat serta perdagangan, kewangan dan pelaburan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Jun 2023 @ 1:03 PM