Boustead dapat tawaran pengambilalihan daripada LTAT.
Boustead dapat tawaran pengambilalihan daripada LTAT.
BERNAMA

Kuala Lumpur: Boustead Holdings Bhd (BHB) mengesahkan telah mendapat tawaran pengambilalihan secara sukarela bersyarat daripada Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) membabitkan kesemua baki 822.51 juta saham-saham biasa (40.58 peratus) dalam BHB pada 85.5 sen sesaham.

Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia hari ini, BHB berkata setakat tarikh terkini, pegangan langsung LTAT merangkumi 1.20 bilion saham BHB yang juga 59.42 peratus daripada keseluruhan jumlah terbitan saham dalam BHB.

"Bagaimanapun, tawaran bersyarat ini adalah berlandaskan kepada kelulusan Menteri Kewangan di atas syor Bank Negara Malaysia (BNM) dan kelulusan BNM di bawah Seksyen 87 Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 dan Seksyen 99 Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013 untuk membenarkan pihak membuat tawaran memperoleh sehingga 100 peratus kepentingan ekuiti dalam BHB," katanya.

BHB berkata, LTAT juga setakat ini tidak berhasrat untuk mengekalkan status penyenaraian BHB.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Mac 2023 @ 6:09 PM