LTAT terus teguh dalam merealisasikan Pelan Strategik MAMPAN25 2023-2025 melalui pengimbangan semula portfolio yang mantap.
LTAT terus teguh dalam merealisasikan Pelan Strategik MAMPAN25 2023-2025 melalui pengimbangan semula portfolio yang mantap.
Oleh Mahaizura Abd Malik


Kuala Lumpur: Penjualan 33 peratus kepentingan saham dalam Boustead Plantations Berhad (BPlant) kepada Kuala Lumpur Kepong Berhad (KLK), sebagai strategi syarikat untuk maju ke hadapan dalam industri minyak sawit Malaysia.

Ketua Eksekutif Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT), Datuk Nazim Rahman berkata, langkah itu tepat pada masanya menandakan permulaan strategi penetapan semula Boustead Holdings Berhad (BHB) yang akan melonjakkan nilai ketara kepada kumpulan.

Katanya, LTAT terus teguh dalam merealisasikan Pelan Strategik MAMPAN25 2023-2025 melalui pengimbangan semula portfolio yang mantap dengan misi jelas untuk memajukan kesejahteraan sosioekonomi angkatan tentera dan veteran.

"Kami amat percaya kerjasama strategik ini dengan sinerginya akan membuka nilai lebih besar untuk semua pihak berkepentingan.

"Kami yakin langkah ini akan meletakkan BHB dan LTAT berada pada landasan kukuh ke arah masa depan mampan," katanya dalam kenyataan berhubung menandatangani kerjasama perjanjian strategik LTAT, BHB dan KLK untuk mengambil alih saham BPlant.

Objektif kerjasama strategik dengan KLK, pemain terkemuka dalam industri minyak sawit adalah untuk meningkatkan kecekapan operasi jangka panjang dan hasil minyak sawit mentah perladangan Bplant untuk kepentingan bersama sekali gus menyumbang positif kepada kedudukan kewangan BPlant untuk jangka masa panjang.

Sebagai sebahagian daripada latihan penciptaan nilai di bawah perjanjian itu, BHB dan LTAT diberikan hak menguruskan dua ladang iaitu Balau dan Bukit Mertajam dengan jumlah keluasan kira-kira 1,800 ekar (728.43 hektar) untuk pembangunan tanah itu sekali gus memberikan nilai tambah kepada BHB.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif KLK, Tan Sri Lee Oi Hian berkata, kerjasama strategik ini bukan sahaja akan mengukuhkan kerjasama sedia ada antara KLK dan BHB, malah ia menyediakan rangsangan besar kepada strategi pertumbuhan jangka panjang perniagaan perladangan Kumpulan KLK.

"Kami berbesar hati diamanahkan sebagai rakan kongsi untuk bekerjasama dan membuat penambahbaikan kepada BPlant, bersinergi dengan ladang kita sendiri.

"Kami optimis latihan korporat ini akan membawa manfaat positif untuk industri minyak sawit Malaysia secara keseluruhannya," katanya.

BHB menjual 33 peratus kepentingan saham dalam BPlant kepada KLK dalam perjanjian yang menilai syarikat itu pada RM3.47 bilion.

Penjualan itu adalah sebahagian daripada pelan strategik BHB, LTAT dan KLK untuk mengambil Bplant secara persendirian.

Pada masa ini, BHB memegang 57.42 peratus kepentingan dalam Bplant, manakala LTAT memegang 10.59 peratus kepentingan dalam syarikat perladangan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Ogos 2023 @ 7:00 AM