Mahaizura Abd Malik

Kuala Lumpur: Penjualan 33 peratus saham Boustead Plantations Berhad (BPlant) kepada Kuala Lumpur Kepong Berhad (KLK) dilihat sebagai penyelesaian terbaik bagi menyelamatkan aliran tunai dan hutang BPlant sebelum penghujung tahun ini.

Pensyarah Kanan Fakulti Ekonomi dan Muamalat Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) Dr Mohd Faisol Ibrahim berkata, kesuntukan masa selain kekangan lain memerlukan mereka membuat keputusan segera supaya Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dan BPlant terus relevan dan berdaya tahan.

"Saya percaya pihak kementerian dan pihak berkepentingan melakukan pelbagai analisis dan rundingan supaya perkara ini tidak memudaratkan pihak LTAT dan BPlant pada masa akan datang.

"Hasil keluaran kelapa sawit yang rendah dan pasaran kelapa sawit yang terpalit dengan beberapa buah negara tidak lagi mengimport minyak kelapa sawit Malaysia dan isu saingan minyak lain di pasaran global sedikit sebanyak menjejaskan hasil aset ini.

"Justeru sesuatu harus dilakukan supaya yang dikendong tidak keciciran," katanya kepada Harian Metro.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) yang mempersoalkan keputusan BPlant menyerahkan pegangan 33 peratus saham kepada KLK.

Dr Mohd Faisol berkata, walaupun niat pihak terbabit baik untuk menyelamatkan LTAT, namun kesan baik buruk dalam jangka masa panjang perlu diperhalusi.

"Keputusan penjualan saham 33 peratus ini harus membabitkan pihak berkepentingan secara langsung atau tidak langsung supaya gambaran sebenar dan solusi terbaik berjaya direalisasikan.

"Jika penjualan saham ini langkah terbaik yang ada, bagaimana ia akan diukur nanti.

"Sekiranya selepas tiga atau lima tahun, isu masalah hutang dan aliran tunai masih berlaku walaupun 33 peratus saham ini sudah dijual kepada pihak swasta, pihak mana harus bertanggungjawab?," katanya.

Menurutnya, jika perjanjian itu gagal mencapai matlamat, kesannya akan ditanggung ahli LTAT.

"Apa yang paling menyedihkan ruang dan peluang ini tidak diberikan kepada syarikat pemilikan Bumiputera sebaliknya pihak swasta.

"Langkah sepatutnya contohnya, penjualan 33 peratus itu mungkin 18 hingga 20 peratus diberi kepada syarikat Bumiputera, manakala selebihnya baru pihak lain.

"Ini sedikit-sebanyak memberi jaminan dan keselesaan serta keyakinan kepada pemegang taruh LTAT dan BPlant ini," katanya.

Semalam, Presiden PVATM Datuk Sharuddin Omar dalam sidang media berkata, langkah itu akan memberi kesan jangka panjang kepada LTAT serta kebajikan warga ATM termasuk veteran.

Pada 24 Ogos lalu, Ketua Eksekutif LTAT Datuk Nazim Rahman dilaporkan berkata, langkah itu sebagai strategi syarikat untuk maju ke hadapan serta menandakan permulaan strategi penetapan semula BHB yang akan melonjakkan nilai ketara kepada kumpulan.

Pihakanya percaya kerjasama strategik ini dengan sinerginya akan memberi manfaat lebih besar kepada semua pihak berkepentingan termasuk kebajikan angkatan tentera dan veteran.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 September 2023 @ 3:23 PM