Zatul Iffah Zolkiply

Kuala Terengganu: Ahli perniagaan rugi sebanyak RM202,400 selepas menjadi mangsa Phone Scam di sini.

Ketua Polis Terengganu Datuk Mazli Mazlan berkata, mangsa yang juga seorang wanita berusia 47 tahun dikatakan dihubungi oleh penyamar yang mengaku sebagai pihak kurier dan polis pada Rabu lalu.

Beliau berkata, mangsa kemudiannya dimaklumkan terbabit dengan kes kesalahan jenayah pengubahan wang haram dan dadah.

Katanya, mangsa diminta untuk memberi kerjasama dalam siasatan yang dijalankan jika tidak mahu diambil tindakan.

"Dia kemudiannya diminta untuk mendedahkan maklumat akaun dan kata laluan perbankan Internet serta membuat beberapa pindahan wang ke akaun yang diberikan.

"Mangsa diminta untuk menunggu sehingga siasatan selesai dalam tempoh tiga bulan sebelum boleh menggunakan akaun bank miliknya semula.

"Mangsa hanya menyedari diperdaya seleps dimaklumkan oleh keluarganya berkenaan pihak yang menghubunginya adalah 'scammer' sebelum semakan mendapati terdapat 35 transaksi berlaku tanya pengetahuannya membabitkan kerugian RM202,400," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Sementara itu, Mazli berkata, sebanyak 114 laporan membabitkan kes jenayah komersial diterima dalam tempoh seminggu bermula 25 Februari lalu berbanding hanya 81 laporan pada minggu sebelumnya.

Beliau berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 19 kertas siasatan dibuka membabitkan kerugian sebanyak RM 424,195.

"Orang ramai diingatkan supaya tidak terpedaya apabila menerima panggilan daripada nombor yang tidak dikenali selain diminta membuat semakan dengan pihak polis atau syarikat berkenaan terlebih dahulu untuk mendapatkan pengesahan.

"Jangan dedahkan maklumat perbankan kepada mana-mana pihak tidak dikenali selain dinasihatkan untuk memuat turun sebarang aplikasi yang boleh digunakan untuk mencegah dan mengelak daripada terkena panggilan telefon dari penipu atau 'scammer'," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Mac 2024 @ 1:59 PM