Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Terengganu: Polis Terengganu merampas lebih 200 kilogram (kg) pelbagai jenis dadah dan lebih 2,000 liter air ketum melalui operasi besar-besaran, Januari sehingga 21 Oktober lalu.

Ketua Polis Terengganu Datuk Mazli Mazlan berkata, daun ketum merekodkan rampasan tertinggi iaitu sebanyak 186.8kg diikuti pil yaba (25.6kg), ganja (9kg), syabu (2.4kg), heroin (2.1kg) dan air ketum (2,085 liter).

Beliau berkata, 739 kertas siasatan dibuka dengan 95 peratus daripadanya dituduh di mahkamah mengikut Seksyen 39B, 39A (2) dan 39 A (1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

"Sebanyak 94 peratus daripada 1,598 kes membabitkan 'pusher' atau ejen pengedar dadah turut didakwa di mahkamah di bawah kategori permintaan iaitu Seksyen 12(2) dan Seksyen 6 akta yang sama.

"Selain itu, seramai 838 penagih tegar dihukum di bawah Seksyen 39C akta sama iaitu kesalahan berulang yang memperuntukkan penalti lebih berat iaitu hukuman penjara dan sebat dalam tempoh yang sama," katanya selepas Majlis Penyerahan Barang Kes Narkotik Bagi Program Pelupusan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kontinjen Terengganu, di sini, hari ini.

Mazli berkata, hampir 95 kg dadah pelbagai jenis bernilai RM6.2 juta diserahkan kepada syarikat berdaftar untuk dilupuskan.

Katanya, kesemua dadah itu membabitkan 3,557 kes sejak 1996 yang sudah mendapat perintah mahkamah untuk dilupuskan mengikut Perintah Tetap Ketua Polis Negara D207.

"Antara dadah yang dilupuskan adalah pil yaba (21.5 kg), syabu (23.6 kg), heroin (4.4 kg), ganja (563 gram), pil eramin 5 (621.3 gram) dan air ketum (896.3 liter).

"Turut dilupuskan adalah daun ketum (43.85 kg), ubat batuk (63.98 liter), pil estacy (7.11 gram), pil psikotropik (198.54 gram) dan ketamin (189.4 gram)," katanya.

MAZLI (tengah) memeriksa barang pelupusan dadah pada Majlis Penyerahan Barang Kes Narkotik Bagi Program Pelupusan JSJN Terengganu. . FOTO Ghazali Kori
MAZLI (tengah) memeriksa barang pelupusan dadah pada Majlis Penyerahan Barang Kes Narkotik Bagi Program Pelupusan JSJN Terengganu. . FOTO Ghazali Kori

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 November 2023 @ 1:16 PM