TANGKAP layar video tular di media sosial
TANGKAP layar video tular di media sosial
Mary Victoria Dass


Johor Bahru: Polis menahan lima lelaki bagi membantu siasatan kejadian merusuh di jalan raya di bandar raya ini semalam.

Ketua Polis Johor Bahru Selatan Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, pada 8.43 malam semalam, pihaknya menerima laporan polis berikutan video tular di media sosial Facebook memaparkan sekumpulan lelaki merusuh.

Menurutnya, siasatan awal mendapati kejadian berlaku pada 6.30 petang semalam membabitkan lelaki warga tempatan berusia 31 tahun dipukul oleh empat lelaki warga tempatan berusia lingkungan 19 hingga 31 tahun menggunakan topi keledar.

Katanya, ia dipercayai berpunca daripada salah faham ketika menaiki motosikal di jalan raya.

"Dalam kejadian ini dua suspek mengalami luka di mata dan lebam di kepala manakala selebihnya tidak mengalami sebarang kecederaan.

"Bertindak atas maklumat, pada 12.35 tengah malam tadi polis menahan lima lelaki warga tempatan dan turut merampas dua topi keledar, tiga helai kemeja T berwarna merah dan sehelai jaket berwarna kelabu hitam," katanya menerusi kenyataan media hari ini.

Beliau berkata, semakan rekod mendapati hanya seorang suspek mempunyai satu rekod kes jenayah mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan polis masih berusaha mengesan seorang lagi suspek berusia 30-an yang terbabit dalam kejadian ini.

"Kesemua suspek dibenarkan ditahan reman mengikut Seksyen 117 kanun Prosedur Jenayah bermula hari ini hingga 26 Mac 2024 dan kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan.

"Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian boleh menghubungi terus di talian hotline IPD Johor Bahru Selatan 07-2182222 atau pegawai penyiasat kes Inspektor S Sivakumaran di talian 019-5127410," katanya.

Difahamkan, kejadian berlaku ketika kumpulan lelaki itu dalam perjalanan pulang dari Singapura ke Johor Bahru.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Mac 2024 @ 11:18 PM