ANTARA barang rampasan pecah masuk bangunan hotel dalam serbuan yang dijalankan polis di sebuah rumah di Taman Rinting, Masai. FOTO Ihsan POLIS JOHOR
ANTARA barang rampasan pecah masuk bangunan hotel dalam serbuan yang dijalankan polis di sebuah rumah di Taman Rinting, Masai. FOTO Ihsan POLIS JOHOR
Nurul Amanina Suhaini


POLIS menahan dua lelaki tempatan berusia 22 dan 23 tahun selepas dipercayai terbabit memecah masuk dua hotel dalam serbuan di sebuah rumah di Taman Rinting, di Johor, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan Asisten Komisioner Shahurinain Jais berkata, pihaknya menerima aduan berhubung kes berkenaan yang dilaporkan berlaku sekitar Permas Jaya, pada 10.26 malam tadi.

“Bertindak atas maklumat, pada 2.30 pagi tadi, satu operasi dilancarkan pasukan daripada Permas Jaya dan Masai di sekitar kawasan Masai.

“Dua lelaki itu ditahan dan polis turut merampas sebuah motosikal yang dilaporkan hilang.

“Hasil soal siasat ke atas dua suspek, polis dipandu mereka (suspek) ke sebuah rumah di Masai sebelum kita merampas televisyen jenama Samsung 32 inci, topi keledar jenama SGV dan sehelai baju sejuk jenama Dragon-i yang dipercayai hasil kegiatan pecah bangunan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, semakan rekod mendapati kedua-dua suspek mempunyai rekod jenayah lampau atas pelbagai kesalahan.

“Hasil tangkapan ini, polis berjaya menyelesaikan dua kes pecah masuk hotel di sekitar daerah Johor Bahru dan satu kes curi motosikal di Masai. Kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan (KK) dan Seksyen 379A KK.

“Jika sabit kesalahan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan boleh dipenjara tiga tahun dan tidak lebih tujuh tahun, manakala bagi Seksyen 379A Kanun Keseksaan hendaklah dihukum dengan penjara tidak kurang setahun dan tidak lebih tujuh tahun dan hendaklah juga dikenakan denda,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Mac 2020 @ 3:56 PM