Pengurus Besar YBR, Syaiful Rizal Abdul Ghani menyerahkan sumbangan kepada pelajar tajaan YBR, Norwardina yang kehilangan harta benda disebabkan kebakaran 11 rumah di Papar, baru-baru ini. FOTO Ihsan YBR
Pengurus Besar YBR, Syaiful Rizal Abdul Ghani menyerahkan sumbangan kepada pelajar tajaan YBR, Norwardina yang kehilangan harta benda disebabkan kebakaran 11 rumah di Papar, baru-baru ini. FOTO Ihsan YBR
Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil

Kuala Lumpur: Pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang tinggal sehelai sepinggang selepas rumahnya musnah terbakar menerima bantuan daripada Yayasan Bank Rakyat (YBR), hari ini.

Pengurus Besar YBR Syaiful Rizal Abdul Ghani berkata, mahasiswi berkenaan, Norwardina, 21, adalah antara pelajar yang baharu sahaja menerima tawaran Pembiayaan Pendidikan Boleh Ubah (PPBU).

"Bantuan yang diberikan ini tidak mampu membantu mereka sekeluarga sepenuhnya, namun diharapkan sedikit sebanyak mengurangkan penderitaan yang perlu ditanggung untuk meneruskan pengajian.

"Bantuan ini juga diharap dapat membantu membeli keperluan dan peralatan persekolahan adik-adik yang baharu memulakan persekolahan pada 11 Mac lalu," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, mangsa sekeluarga mengalami kehilangan harta benda dalam kebakaran membabitkan 10 rumah dan turut menjejaskan enam keluarga yang lain.

Beliau berkata pihaknya berasa terkesan selepas melihat sendiri keadaan kediaman keluarga itu yang musnah terbakar dan tiada apa yang sempat diselamatkan.

"YBR amat prihatin dengan musibah yang menimpa Norwardina dan keluarga yang kini hanya tinggal sehelai sepinggang akibat kebakaran itu.

"Rumah mereka musnah dijilat api dan kami memohon mereka yang berada di luar sana tampil membantu mereka dalam bentuk

bantuan tunai atau lain-lain kerana mereka amat memerlukannya.

"Semoga mereka sekeluarga dipermudahkan segala urusan di bulan Ramadan yang mulia ini dan juga mendapat lindungan dari tuhan," katanya.

Dalam pada itu Norwardina sempat mengucapkan terima kasih kepada pihak YBR di atas bantuan itu yang sedikit sebanyak dapat membantu meringankan beban keluarganya ketika ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Mac 2024 @ 6:52 PM