Prof Madya Dr Halimatus Sakdiah Minhat
Prof Madya Dr Halimatus Sakdiah Minhat
Mahaizura Abd Malik


Kuala Lumpur: Pengambilan sayur-sayuran yang disembur dengan racun makhluk perosak (RMP) tanpa mengikut garis panduan mendedahkan pengguna kepada penyakit kronik.

Pensyarah Perubatan Kesihatan Awam Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Halimatus Sakdiah Minhat berkata, paras sisa racun perosak dalam komoditi makanan adalah kebimbangan utama kerana sifat kimianya yang memberi implikasi langsung kepada kesihatan manusia di seluruh dunia.

Katanya, pendedahan sisa racun perosak dalam makanan dan kehadirannya dalam alam sekitar diketahui mempunyai kesan dalam polimorfisme genetik dan menggalakkan permulaan penyakit.

"Banyak patologi kronik berkait rapat dengan sisa racun perosak. Kajian juga menunjukkan, kesan buruk pendedahan kumulatif kepada sisa racun perosak adalah lebih teruk daripada sebarang pendedahan tunggal.

"Keracunan racun perosak boleh menyebabkan pelbagai gangguan seperti dislipidemia, diabetes, hati, buah pinggang dan penyakit kardiovaskular.

"Telah terbukti, pendedahan yang melebihi had tertentu dalam produk makanan mempunyai kemungkinan risiko kepada kesihatan terutama mutagenisiti," katanya kepada Harian Metro.

Beliau berkata demikian mengulas pendatang asing membina rangkaian dari kebun sayur, pengedaran sehingga jualan di beberapa pasar borong di Semenanjung.

Kegiatan mereka yang tidak dipantau mencetuskan kebimbangan tidak selamat untuk pengguna terutama apabila penggunaan RMP disalah gunakan.

Mengulas isu sama, Setiausaha Agung Persekutuan Persatuan Penanam Sayur Malaysia, Chay Ee Mong berkata, tindakan warga asing itu akan menjejaskan industri sayur terutama apabila tidak mematuhi amalan pertanian baik (APB).

"Racun serangga ada jenisnya dan kita perlu kenal pasti kandungan bahan aktif dalamnya. Jadi kalau warga asing mengusahakan ladang itu tidak tahu baca label racun, sudah tentu mendatangkan risiko.

"Kita juga khuatir, mereka tidak mematuhi APB contohnya berapa lama tempoh sembur dan tempoh menunggu sebelum hasil boleh dikutip.

"Jika sebarangan, ia akan memberikan sisa berlebihan akan menjadi isu ancaman serius kepada pengguna," katanya.

Justeru, beliau menggesa pihak berkuasa tegas dalam membendung isu itu dengan menguatkuasakan Akta Makanan 1983 (Akta 281).

Katanya, ia bagi melindungi pengguna daripada risiko kesihatan berkaitan penggunaan makanan yang tidak selamat.

"Perkara ini perlu dipantau kerana kadang-kadang sayur di pasaran terutama dijual di tepi jalan jika tiada kawalan akan menjejaskan pengguna.

"Kita gesa Kementerian Kesihatan (KKM) turun padang untuk ambil sampel analisis dan mengadakan penguatkuasaan berdasarkan akta makanan untuk melindungi hak pengguna," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Mac 2024 @ 3:39 PM