Anggota polis menjalankan siasatan di lokasi kemalangan di Jalan Kampung Sebatu, Sungai Rambai. FOTO IPD Jasin
Anggota polis menjalankan siasatan di lokasi kemalangan di Jalan Kampung Sebatu, Sungai Rambai. FOTO IPD Jasin
Meor Riduwan Meor Ahmad


Jasin: Seorang penuntut Kolej Komuniti Jasin terbunuh apabila motosikal ditunggang, terbabas di Jalan Kampung Sebatu, Sungai Rambai di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian 4.50 pagi itu, pelajar semester 1 berkenaan dalam perjalanan pulang ke rumah sewanya di Merlimau, selepas bersahur di sebuah gerai bersama seorang rakan.

Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintendan Ahmad Jamil Radzi berkata, siasatan awal mendapati ketika kejadian, mangsa, Ibrahim Mohd Adham, 19, yang menunggang Yamaha Lagenda 115Z dari arah Sungai Rambai menghala ke Merlimau.

Beliau berkata, siasatan mendapati, rakan mangsa yang menunggang motosikal berasingan berada jauh di hadapan dan tidak perasan kemalangan itu.

"Semasa sampai di lokasi kemalangan, mangsa dipercayai gagal mengawal motosikalnya lalu terbabas dan dia tercampak beberapa meter ke tepi jalan.

"Akibatnya, mangsa parah di kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh kakitangan perubatan.

"Mayatnya dihantar ke Hospital Jasin untuk dibedah siasat," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Ahmad Jamil, sewaktu kejadian, mangsa yang berasal dari Bangi, Selangor, menunggang motosikal dipinjam daripada rakan.

"Siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengetahui punca sebenar kemalangan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Mac 2024 @ 9:48 AM