PEKERJA kilang, Tan Leik Fong, 21, maut selepas motosikalnya terbabit kemalangan dengan Toyota Alphard di persimpangan lampu isyarat Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ) dekat Merlimau. - FOTO ihsan polis
PEKERJA kilang, Tan Leik Fong, 21, maut selepas motosikalnya terbabit kemalangan dengan Toyota Alphard di persimpangan lampu isyarat Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ) dekat Merlimau. - FOTO ihsan polis
Mohd Hilmie Hussin


SEORANG pekerja kilang wanita maut selepas motosikal ditungganginya terbabit kemalangan dengan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) di persimpangan lampu isyarat Merlimau, Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah (AMJ), malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.30 malam itu, mangsa, Tan Leik Fong, 21, yang menunggang motosikal jenis Yamaha Ego Solariz dari arah Jasin melalui Jalan Merlimau-Jasin manakala kenderaan MPV jenis Toyota Alphard dipandu kontraktor lelaki berusia 62 tahun itu dari arah Muar menghala ke Melaka.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) negeri, Superintendan Hasan Basri Yahya berkata, mangsa yang cedera parah di kepala meninggal dunia di tempat kejadian.

“Hasil siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila mangsa yang berada di lampu isyarat Lebuh AMJ Merlimau dilanggar MPV berkenaan yang datang dari arah Muar.

“Akibat perlanggaran itu, mangsa tercampak ke laluan bertentangan dan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya.

Beliau berkata, mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Jasin untuk bedah siasat manakala kes disiasat mengikut Seksyen 41(1), Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 31 Mei 2019 @ 3:51 PM