MANGSA maut di lokasi kejadian. FOTO ihsan Polis
MANGSA maut di lokasi kejadian. FOTO ihsan Polis
Nur Saliawati Salberi


GURU maut manakala anak lelakinya cedera selepas motosikal dinaiki mereka merempuh anjingdi Kilometer 5, Jalan Serkam- Merlimau, Jasin, hari ini.

Kejadian 9.15 pagi itu mengakibatkan mangsa Mazlan Musa, 46, maut di lokasi manakala anak lelakinya, 9, cedera.

Difahamkan, ketika kejadian mangsa dalam perjalanan untuk membeli hadiah buat anaknya menyambut hari lahir, hari ini.

Bagaimanapun, hasratnya itu tidak kesampaian selepas terbabit kemalangan.

Ketua Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) negeri Superintendan Hasan Basri Yahya berkata, sebelum kejadian mangsa yang menunggang motosikal dalam perjalanan dari arah Serkam menghala ke Merlimau.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian mangsa dipercayai melanggar anjing yang melintas jalan.

“Mangsa kemudian disahkan meninggal dilokasi kejadian oleh pegawai perubatan,” katanya.

Beliau berkata, mayat mangsa kemudian dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Jasin bagi proses bedah siasat.

“Pembonceng yang juga anak mangsa mengalami luka di kaki dan tangan sahaja.

“Motosikal mangsa ditahan bagi dihantar ke Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) untuk pemeriksaan,” katanya.

Hasan Basri berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 September 2019 @ 3:19 PM