Jasin: Dua beranak serta seorang wanita maut apabila kenderaan dinaiki mereka terjunam ke dalam parit dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Kilometer 29, Kampung Sebatu, Jalan Melaka-Muar, kelmarin.

Dalam kejadian jam 6 petang itu, kereta Mazda dan kenderaan pelbagai guna (MPV) Nissan Grand Livina dinaiki lima mangsa berusia lima bulan hingga 60 tahun.

Akibat kemalangan itu, pemandu Mazda Mohd Faris Zainul Abidin, 28, dan bayinya Putra Mohd Arif, lima bulan, maut di tempat kejadian manakala penumpang Nissan Grand Livina Suhaila Sahil, 56, disahkan meninggal ketika menerima rawatan di Hospital Muar.

Jurucakap polis berkata, kejadian berlaku apabila dua kereta berlanggar sebelum terjunam ke dalam parit.

“Siasatan mendapati kereta dipandu Mohd Faris dalam perjalanan dari Simpang Laidin menghala ke Jalan Salim dipercayai berlanggar dengan Nissan Grand Livina yang dipandu lelaki warga emas berusia 60 tahun yang datang dari arah Merlimau ke Muar, Johor.

“Kedua-dua kereta terbabas masuk ke dalam parit. Mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Muar untuk rawatan lanjut manakala mayat bapa dan anaknya dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Jasin untuk bedah siasat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Ogos 2015 @ 5:41 AM