MURID-murid yang menerima Pek Kembali Ke Sekolah pada Majlis Penyerahan Pek Kembali Ke Sekolah Sumbangan Yayasan Jaafar Ahmad Anjuran Persatuan Kebajikan Ronald McDonald Malaysia di Felda Pasir Besar, Tampin.
MURID-murid yang menerima Pek Kembali Ke Sekolah pada Majlis Penyerahan Pek Kembali Ke Sekolah Sumbangan Yayasan Jaafar Ahmad Anjuran Persatuan Kebajikan Ronald McDonald Malaysia di Felda Pasir Besar, Tampin.
Muhamaad Razis Ismail

Kuala Lumpur: Sebagai anak jati Felda Pasir Besar, Negeri Sembilan, Datuk Azmir Jaafar dan abangnya, Zainudin Jaafar amat memahami asam garam hidup sebagai peneroka.

Bukan mudah untuk membesarkan anak-anak pada ketika itu dalam keadaan serba kekurangan dan kepayahan.

Biarpun dihadapkan dengan pelbagai cabaran, bapa mereka, Jaafar Ahmad tetap berusaha keras menjalankan tanggungjawab sebagai ketua keluarga untuk memberi yang terbaik kepada anak-anaknya.

Bukan kekayaan dan kemewahan yang dikejar, sebaliknya ingin memastikan anak-anaknya mendapat kehidupan yang baik dan pendidikan yang berkualiti untuk keluar daripada kepompong kemiskinan.

Kini, hasil kegigihan bapanya, Datuk Azmir dan adik-beradiknya yang lain berjaya membuktikan anak peneroka juga mampu berjaya.

AZMIR (tengah) bersama Nasri (kiri) dan Zainudin menyampaikan sumbangan pada Majlis Penyerahan Pek Kembali Ke Sekolah sumbangan Yayasan Jaafar Ahmad Anjuran Persatuan Kebajikan Ronald McDonald Malaysia di Felda Pasir Besar, Tampin.

Memahami keperluan membantu golongan kurang bernasib baik dan memerlukan di Negeri Sembilan, Datuk Azmir yang juga Presiden Persatuan Kebajikan Ronald McDonald Malaysia (RMHC Malaysia) menubuhkan Yayasan Jaafar Ahmad.

Nama badan kebajikan itu diambil sempena nama bapa mereka, Jaafar Ahmad sebagai tanda penghormatan dan penghargaan kerana membanting tulang dan memerah keringat untuk anak-anaknya.

Yayasan Jaafar Ahmad memfokuskan aspek kebajikan masyarakat, termasuk pendidikan kanak-kanak, melalui pelbagai inisiatif bermanfaat.

Usaha-usaha yang dijalankan sepanjang tahun antaranya adalah sumbangan Ramadan kepada asnaf di Negeri Sembilan dan pengagihan Pek Kembali Ke Sekolah kepada anak-anak jati Negeri Sembilan termasuk murid-murid SK (Felda) Pasir Besar.

SK (Felda) Pasir Besar menjadi perhatian khusus Yayasan Jaafar Ahmad kerana menjadi tempat adik beradik Datuk Azmir menerima pendidikan awal.

AZMIR (kanan) beramah mesra dengan penerima kelengkapan peralatan sekolah pada Majlis Penyerahan Pek Kembali Ke Sekolah.

Abang kepada Datuk Azmir, Zainudin Jaafar yang juga penasihat Yayasan Jaafar Ahmad berkata, sebagai anak peneroka Felda, ketika mula-mula menetap di sini, kehidupan mereka sekeluarga bukan senang.

"Dari segi kelengkapan persekolahan, tak dinafikan kami adik-beradik terpaksa berkongsi-kongsi.

"Dan saya tahu bagaimana rasanya apabila dapat kelengkapan sekolah baharu. Memang rasa seronok dan gembira," katanya.

Menyedari perkara itu, Yayasan Jaafar Ahmad melaksanakan program Pek Kembali Ke Sekolah bersama RMHC Malaysia kepada hampir 1,000 murid prasekolah di seluruh Negeri Sembilan termasuk 300 murid di sekolah-sekolah luar bandar di sekitar daerah Tampin.

"Inisiatif Pek Kembali Ke Sekolah cukup dekat di hati saya kerana saya juga pernah jadi anak kecil yang datang dari keluarga kurang berkemampuan dan tahu bagaimana perasaannya apabila mendapat kelengkapan sekolah baharu.

"Selain membantu menaikkan semangat anak-anak ke sekolah, besar harapan saya agar sumbangan ini dapat membantu anak-anak mencipta kejayaan cemerlang dalam pelajaran serta mengubah nasib keluarga.

"Bantuan ini juga diharap dapat memastikan kanak-kanak mendapat pendidikan yang selesa dan sempurna," katanya.

Menurutnya, SK (Felda) Pasir Besar cukup dekat dihatinya kerana di situ pendidikan beliau bersama adik-beradik lain bermula sebelum melanjutkan pelajaran ke peringkat menengah dan ke universiti seterusnya meraih kejayaan pada hari ini.

"Saya juga adalah ahli jawatankuasa PIBG sekolah ini dan kekal aktif dalam aktiviti-aktiviti sekolah. Ini salah satu cara saya dapat menyumbang kembali ke sekolah yang cukup bermakna kepada saya.

"Selagi nyawa dikandung badan, saya dan adik-beradik ingin menyumbang bakti kepada kampung halaman kami dan generasi muda di sini. Bak kata pepatah, tempat jatuh lagi dikenang, inikan pula tempat bermain," katanya.

Beliau berkata, melalui penubuhan Yayasan Jaafar Ahmad, pihaknya ingin membantu golongan masyarakat yang memerlukan khususnya yang datang dari sekitar Felda Pasir Besar dan Negeri Sembilan amnya.

"Sebagai anak jati Felda ini, ini salah satu cara saya dapat menyumbang kembali kepada pihak SK (Felda) Pasir Besar dan sekolah lain di sekitar daerah serta negeri ini, sekali gus lebih ramai anak-anak yang memerlukan menerima manfaat daripada inisiatif ini," katanya.

Zainuddin juga memaklumkan bahawa yayasan yang dipimpinnya itu turut menjayakan aktiviti amal dengan menyantuni golongan kurang bernasib baik dan memerlukan di Negeri Sembilan melalui pelbagai sumbangan setiap kali Ramadan.

"Selain bantuan wang tunai, kami turut menaja berbuka puasa dan menyumbang barangan keperluan harian kepada mereka yang berkenaan .

"Kami akan teruskan lagi inisiatif pada Ramadan kali ini. Jika ada yang memerlukan, jangan segan menghubungi pihak kami, dan kami akan berusaha menghulurkan bantuan sewajarnya," katanya.

Beliau menasihatkan anak-anak pada hari ini supaya belajar bersungguh-sungguh dan jangan berputus asa.

"Kejayaan itu datang kepada orang yang berusaha. Saya doakan kejayaan terus mengiringi langkah anak-anak sekalian dalam mengejar cita-cita masing-masing," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Mac 2024 @ 4:19 PM