TUANKU Syed Faizuddin Putra Jamalullail (barisan belakang enam dari kiri ), Azmir (berkaca mata) dan Abu Bakar (kanannya) bersama sebahagian daripada murid sekolah rendah dari golongan kurang bernasib baik seluruh Perlis menunjukkan isyarat huruf M sebagai apresiasi kepada McDonald’s Malaysia dalam dalam ‘Program Kayuhan dan Penyerahan Pek Kembali ke Sekolah’ di Kuala Perlis.
TUANKU Syed Faizuddin Putra Jamalullail (barisan belakang enam dari kiri ), Azmir (berkaca mata) dan Abu Bakar (kanannya) bersama sebahagian daripada murid sekolah rendah dari golongan kurang bernasib baik seluruh Perlis menunjukkan isyarat huruf M sebagai apresiasi kepada McDonald’s Malaysia dalam dalam ‘Program Kayuhan dan Penyerahan Pek Kembali ke Sekolah’ di Kuala Perlis.
Aizat Sharif


SERAMAI 250 murid sekolah rendah dari golongan kurang berkemampuan di Perlis menzahirkan keceriaan selepas menerima sumbangan Pek Kembali ke Sekolah dari McDonald's Malaysia dan Persatuan Kebajikan Ronald McDonald (RMHC Malaysia) dalam 'Program Kayuhan dan Penyerahan Pek Kembali ke Sekolah' di Kuala Perlis, di sini baru-baru ini.

Program yang berlangsung di Kampung Seberang Ramai itu turut mendapat kerjasama Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perlis.

Ia meneruskan lagi komitmen kemasyarakatan McDonald's Malaysia dan RMHC Malaysia di Perlis melalui pelaksanaan program berkenaan Malah, Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bersama Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil turut berkenan mencemar duli menyertai program berkenaan sebagai antara usaha untuk menyantuni masyarakat yang memerlukan di negeri itu.

Turut hadir, Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan McDonald's Malaysia yang juga Presiden RMHC Malaysia, Datuk Azmir Jaafar dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Perlis, Abu Bakar Hamzah.

Azmir berkata, McDonald's Malaysia dan RMHC Malaysia membelanjakan RM250,000 bagi tujuan berkenaan di mana setiap Pek Kembali ke Sekolah yang diagihkan mengandungi set alat tulis, buku latihan dan botol air bagi meringankan beban keluarga dari segi perbelanjaan persekolahan.

"Malah, kami mengharapkan juga ia dapat menyuntik semangat kanak-kanak ini untuk memulakan sesi persekolahan baharu pada tahun hadapan.

"Negeri Perlis sudah menjadi satu lokasi yang wajib dikunjungi kami pada setiap hujung tahun berikutan hubungan baik yang terbina sejak sekian lama dan inisiatif kemasyarakatan sebegini adalah nilai teras McDonald's Malaysia dan mendapat sokongan sepenuhnya daripada badan kebajikan pilihan kami iaitu RMHC Malaysia.

"Malah, sebagai sebuah syarikat korporat terkemuka, kami ingin terus mewujudkan impak positif dalam kalangan masyarakat, terutama komuniti di sekitar lokasi operasi kami," katanya pada program berkenaan.

Azmir berkata, pada masa sama pihaknya juga menghulurkan sumbangan set kelengkapan bilik tidur berupa tilam, bantal dan cadar baharu bernilai RM15,000 kepada Teratak Rahmat dari Persatuan Al Islah Perlis bagi membolehkan keperluan anak yatim di pusat kebajikan ini dinaik taraf demi keselesaan mereka.

Sementara itu, untuk kali keenam, McDonald's turut mengambil bahagian dalam 'Program Kayuhan MAIPs Peduli' bersama Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menerusi aktiviti kayuhan di sekitar Kampung Seberang Ramai bagi menziarah dan menyampaikan sumbangan makanan McDonald's kepada 30 keluarga asnaf di sana.

Baginda yang juga Yang Dipertua MAIPs bertitah bahawa menyantuni masyarakat yang memerlukan termasuk anak yatim dan golongan asnaf adalah satu kewajipan bagi mereka yang berkemampuan.

"Menyantuni masyarakat yang memerlukan termasuk anak yatim dan golongan asnaf adalah satu kewajipan bagi mereka yang berkemampuan terutama membabitkan syarikat korporat terkemuka seperti McDonald's Malaysia dan organisasi bukan berasaskan keuntungan seperti RMHC Malaysia.

"Ini bukan kali pertama beta bersama McDonald's Malaysia dan RMHC Malaysia mendekati warga Perlis yang memerlukan, malah ia sudah menjadi satu acara masyarakat yang beta akan turut serta setiap kali mereka menyampaikan hasrat untuk berkunjung ke Perlis.

"Malah, besar harapan beta supaya hubungan baik yang terjalin ini dapat dikekalkan demi kesejahteraan rakyat di negeri ini," titahnya.

Selain itu juga, McDonald's turut mengambil kesempatan menunaikan zakat korporatnya sebanyak RM100,000 kepada MAIPs bagi tahun ini untuk diagihkan kepada asnaf yang layak. Malah, ini termasuk program 'Program Kayuhan dan Penyerahan Pek Kembali ke Sekolah' di mana secara keseluruhan, McDonald's Malaysia dan RMHC Malaysia sudah menyumbang RM365,000 bagi membantu golongan yang memerlukan di Perlis.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Disember 2022 @ 6:47 AM