MURID SK FELDA Pasir Besar bersorak selepas menerima bantuan persekolahan masing-masing.
MURID SK FELDA Pasir Besar bersorak selepas menerima bantuan persekolahan masing-masing.
HM Digital

Gemas: Seramai 161 murid Sekolah Kebangsaan (FELDA) Pasir Besar, di sini, menerima kelengkapan pakaian persekolahan sumbangan McDonald’s Malaysia menerusi program kembali ke sekolah, semalam.

Pada program itu, setiap murid menerima dua pasang uniform, kasut, dua pasang stoking dan beg sekolah bernilai keseluruhan RM200.

Pengarah Urusan McDonald’s Malaysia Azmir Jaafar berkata, aktiviti berkenaan adalah program tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat itu yang bermatlamat untuk membantu murid terutama di kalangan keluarga kurang berkemampuan.

Katanya, program dianjurkan bersama Persatuan Kebajikan Ronald McDonald’s (RMHC) itu dimulakan sejak Oktober lalu.

“Seramai 6,000 murid sekolah rendah terdiri dalam kalangan golongan miskin bandar di Kuala Lumpur, Selangor, Melaka dan Johor sudah menerima bantuan menerusi program berkenaan.

“Program di Sekolah Kebangsaan (FELDA) Pasir Besar adalah aktiviti CSR pertama McDonald’s Malaysia di Negeri Sembilan membabitkan kos RM32,200 dengan nilai keseluruhan disalurkan RM1.2 juta,” katanya ketika ditemui pada program penyerahan pek kembali ke sekolah di dewan sekolah berkenaan, di sini.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kebudayaan dan Adat Istiadat Melayu negeri Datuk Abd Razak Ab Said, Guru Besar Sekolah Kebangsaan (FELDA) Pasir Besar Muhamad Zain Md Sevan dan Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah itu Samsol Kahar Alias.

Azmir yang juga Presiden RHMC berkata, pemilihan murid dibuat pihak PIBG dan sekolah berdasarkan keadaan keluarga mereka.

Menurutnya, program kembali ke sekolah adalah satu inisiatif amat dekat di hati kakitangan McDonald’s dan RHMC sekali gus dapat meringankan beban kewangan keluarga murid terbabit dalam menyediakan keperluan persekolahan.

Katanya, program itu juga antara aktiviti bulan komuniti McDonald’s Malaysia yang julung kali diadakan, dan dilancarkan pada Oktober lalu bagi mendekati dan mewujudkan impak positif kepada kanak-kanak seluruh negara.

“Antara aktiviti lain termasuk pengumpulan buku, alat permainan, lawatan sambil belajar, sambutan hari kanak-kanak di rumah anak yatim, lawatan ke hospital dan mengemas rumah kebajikan kanak-kanak,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 November 2017 @ 6:56 AM