Pelajar SK Felda Pasir Besar, Gemas antara penerima peralatan sekolah bernilai RM25,000 untuk sesi persekolahan baharu. - FOTO RHMC
Pelajar SK Felda Pasir Besar, Gemas antara penerima peralatan sekolah bernilai RM25,000 untuk sesi persekolahan baharu. - FOTO RHMC
Nur Amirah Abd Rani

SETELAH berhadapan dengan situasi pandemik dan Perintah Kawalan Pergerakan, Ronald McDonald House Charities (RMHC) telah kembali menganjurkan program tahunan "Kembali Ke Sekolah" pada tahun ini. 

Seramai 21,000 pelajar dari keluarga berpendapatan rendah seluruh negara bakal menerima manfaat bernilai lebih dari RM1.66 juta dari program ini. 

Sekolah Kebangsaan (Felda) Pasir Besar di Gemas, Negeri Sembilan adalah antara penerima terawal bagi program ini. 

RMHC telah menyerahkan sebanyak 200 pek 'Kembali ke Sekolah' kepada pelajar SK Felda Pasir Besar bernilai RM25,000 dan setiap pek mengandungi beg sekolah, botol air, alat tulis dan sepasang kasut sekolah.

Image

Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan McDonald's merangkap Presiden Ronald McDonald House Charities, Malaysia Encik Azmir Jaafar berkata program pek "Kembali Ke Sekolah" adalah salah satu dari inisiatif tahunan utama anjuran RMHC Malaysia dan disokong sepenuhnya oleh McDonald's Malaysia sebagai penaja korporat utama. 

"Program ini merupakan lebih dari usaha bagi membantu keluarga yang kurang berkemampuan dan memainkan peranan penting dalam menggalakkan pelajar untuk meneruskan pendidikan mereka bermula tahun baru persekolahan.  

"Di McDonald's, inisiatif-inisiatif tanggungjawab korporat kami adalah khusus kepada meningkatkan kebajikan dan kesejahteraan hidup kanak-kanak. 

Pendidikan formal adalah kritikal kerana ia membolehkan sifat seseorang pelajar itu dibentuk dan seterusnya menjadi seorang yang dihormati, dan setiap kanak-kanak patut diberi suasana kehidupan yang selamat, kondusif dan sihat. 

"Melalui program pek "Kembali Ke Sekolah" ini, kami harap ia dapat menjadi motivasi untuk kanak-kanak ini berjaya dalam pendidikan mereka. Mereka adalah masa depan negara kita, mereka juga bakal menjadi pemimpin dan peneraju pelbagai industri," tambah Azmir.

Sejak 2017 lagi RMHC telah aktif menyumbang pek "Kembali Ke Sekolah" kepada murid-murid sekolah rendah dari keluarga berpendapatan rendah. 

Sehingga tahun 2021, hampir RM9 juta telah dibelanjakan untuk pek tersebut yang diagihkan kepada lebih 95,000 kanak-kanak di seluruh negara.

Berkongsi mengenai sumbangan yang disampaikan kepada SK Felda Pasir Besar, Azmir berkata sumbangan ini amat dekat di hatinya kerana di situ tempat beliau mula mendapat pendidikan di sekolah rendah.

"Melalui sumbangan ini, sekurang-kurangnya saya dapat menyumbang kembali kepada sekolah yang telah mendidik dan membentuk saya menjadi seorang individu yang berjaya sekarang," katanya. 

Satu majlis penyerahan 'mock cheque' telah diadakan di restoran McDonald cawangan Tampin dengan dihadiri oleh Encik Azmir Jaafar, dan Guru Besar SK Felda Pasir Besar, Encik Mohamad Zain Md Sevan mewakili pihak sekolah.

Majlis telah disaksikan oleh Pegawai Pendidikan Daerah Tampin, Encik Alias bin Abdul Samad. 

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Disember 2021 @ 1:34 PM