Azmir  bersama pelajar yang menerima Pek Kembali ke Sekolah McDonald's di SK  Felda Pasir Besar, Gemas.
Azmir bersama pelajar yang menerima Pek Kembali ke Sekolah McDonald's di SK Felda Pasir Besar, Gemas.
Abnor Hamizam Abd Manap

Gemas: Gerbang Alaf Restaurants Sdn Bhd (McDonald’s Malaysia), pengendali rangkaian restoran McDonald’s di Malaysia, bakal membuka 15 lagi restoran selain membaik pulih 30 restoran, tahun depan.

Pengarah Urusannya, Azmir Jaafar berkata, pembukaan dan pembaikan restoran berkenaan membabitkan kos RM120 juta.

“McDonald’s Malaysia merancang mengembangkan perniagaan di negara ini dengan memberi tumpuan pembukaan restoran di bandar besar seperti Kuala Lumpur, Johor Bahru dan Pulau Pinang yang menjadi tumpuan ramai.

“Malah, ada permintaan cawangan McDonald’s dibuka di kawasan pembangunan hartanah baru seperti Bandar IOI, Bahau, dan akan diberi perhatian pada 2019,” katanya ditemui selepas penyerahan pek kembali ke sekolah kepada 161 murid Sekolah Kebangsaan (SK) FELDA Pasir Besar, di sini, kelmarin.

Azmir berkata, pihaknya komited mengembangkan perniagaan biarpun ramai beranggapan sekarang bukan masa sesuai membuat pelaburan.

Katanya, permintaan terhadap industri makanan adalah tinggi, malah harga produk ditawarkan McDonald’s antara termurah berbanding pesaing.

“Ketika ini 264 cawangan beroperasi di seluruh negara dengan 12,000 kakitangan dan merancang menggandakan jumlah restoran kepada 450 cawangan menjelang 2025.

“Pelan perniagaan jangka panjang itu akan mewujudkan 10,000 peluang pekerjaan baru di negara ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 November 2017 @ 3:29 AM