BUKIT Aman. FOTO Arkib NSTP.
BUKIT Aman. FOTO Arkib NSTP.
Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil


Kuala Lumpur: Polis Diraja Malaysia (PDRM) bekerjasama dengan polis Australia dalam menjalankan siasatan berhubung penahanan rakyat Malaysia dan rampasan dadah di negara itu, Rabu lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman Datuk Seri Mohd Kamarudin Md Din berkata, tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil bagi membanteras kegiatan pengedaran dadah.

"Empat lelaki termasuk seorang warga Malaysia ditahan pihak berkuasa Australia berkaitan rampasan dadah jenis methamphetamine seberat 622 kilogram (kg) di Melbourne.

"PDRM melalui JSJN kini sedang bekerjasama dengan AFP (Australian Federal Police) bagi menjalankan siasatan berhubung kes berkenaan, " katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, media melaporkan AFP menahan empat lelaki selepas 662 kg dadah jenis methamphetamine ditemukan disembunyi dalam bungkusan tisu tandas, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Polis Pasukan Sempadan Australia dilapor berkata, bungkusan itu baru tiba di Melbourne melalui kargo laut dari Malaysia pada 4 Oktober.

Hasil pemeriksaan, polis menemukan 622 bungkusan teh emas dan hijau, dengan setiap satu seberat satu kg yang disembunyikan dalam palet kertas tandas.

Dadah yang dirampas itu dianggarkan bernilai AUD$560 juta (RM1.7 bilion) dan dua warga China berusia 33 tahun, seorang warga Malaysia, 34, serta warga Hong Kong, 32, ditahan semalam.

Polis berkata dua daripada lelaki itu ditahan di lapangan terbang ketika cuba meninggalkan Australia secara berasingan.

Kesemua suspek didakwa memiliki kuantiti komersial dadah terkawal, yang membawa hukuman penjara maksimum seumur hidup.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Oktober 2023 @ 9:31 PM