GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Noor Atiqah Sulaiman


Kuala Lumpur: Peruntukan Bantuan Awal Persekolahan (BAP) sebanyak RM150 kepada semua murid seperti yang diumumkan Selasa lalu akan disalurkan ke akaun Kumpulan Wang Kerajaan sekolah terlebih dulu sebelum diagihkan secara tunai atau dikreditkan ke dalam akaun murid.

Kementerian Pendidikan (KPM) memaklumkan, ia dikreditkan ke akaun sekolah seawal 12 Januari 2023 dan meminta pihak berkaitan untuk membuat agihan secepat mungkin selepas menerima peruntukan berkenaan.

Katanya, tiada sebarang borang atau dokumen perlu diisi oleh murid atau ibu bapa sebelum menerima BAP.

"KPM juga tidak menyediakan sebarang talian khusus, segala penjelasan lanjut berkaitan BAP boleh dirujuk melalui Surat Pekeliling Kewangan Bilangan 20 Tahun 2020: Bantuan Awal Persekolahan di laman sesawang rasmi KPM," katanya menerusi ciapan di Twitter, hari ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Kumpulan Wang Disatukan (Perbelanjaan Masuk Akaun) 2022 di Dewan Rakyat memaklumkan kerajaan bersetuju menyalurkan BAP bernilai RM150 kepada semua murid, tanpa mengambil kira had pendapatan ibu bapa, pada Januari 2023.

Beliau berkata, adalah penting untuk mempersiapkan murid dengan kelengkapan sekolah yang sewajarnya, selain keperluan perbelanjaan bagi Rancangan Makanan Tambahan (RMT) dan pembelian buku teks.

Sementara itu, menjawab soalan murid mana yang layak menerima BAP 2023, KPM memaklumkan bantuan berkenaan akan diberikan kepada pelajar yang memenuhi kriteria seperti warganegara Malaysia dan murid Tahun sehingga Tingkatan 5 yang setaraf dengannya bagi sesi Persekolahan 2023/2024.

"Selain itu mereka adalah pelajar di Sekolah Kebangsaan (SK), Sekolah Bantuan Kerajaan (SBK), Sekolah Agama, Sekolah Swasta Persendirian yang berdaftar dengan kerajaan, Sekolah Bimbingan Jalinan Kasih, Sekolah Integriti dan Sekolah Henry Gurney," katanya,

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Disember 2022 @ 1:41 PM