GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Suraya Roslan


Kuala Lumpur: Bantuan Awal Persekolahan (BAP) berjumlah RM150 bagi sesi persekolahan 2022/2023 akan diberikan mulai Isnin ini.

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memaklumkan, murid Tahun 1 hingga Tingkatan 4 dalam kalangan isi rumah berpendapatan RM3,000 ke bawah yang sedang dalam sesi persekolahan 2021/2022 layak untuk menerima bantuan itu.

"Bagi murid Tahun 1 yang akan mula mendaftar masuk sekolah pada 21 Mac depan, pemberian BAP akan dilaksanakan selepas selesai proses pendaftaran.

"Bagi sesi persekolahan tahun 2022/2023, kerajaan bersetuju meningkatkan kadar BAP kepada RM150 untuk seorang murid berbanding RM100 sebelum ini.

"Manfaat bantuan ini akan diterima tiga juta penerima BAP dalam kalangan isi rumah berpendapatan RM3,000 ke bawah," kata kementerian itu dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, pemberian BAP akan dibuat secara tunai atau dikredit ke akaun bank bagi murid yang mempunyai akaun bank.

"Sekiranya pemberian secara tunai, pengagihan akan dilaksanakan di sekolah mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Kesihatan Malaysia.

"KPM yakin pemberian BAP ini akan dapat membantu ibu bapa atau penjaga membuat persiapan awal anak-anak untuk memulakan persekolahan bagi sesi akademik 2022/2023," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 January 2022 @ 12:31 PM