FADHLINA (kiri) menyampaikan diploma secara anumerta kepada Aminah bagi pihak anaknya, Nur Adlina pada Majlis Konvokesyen Kolej Vokasional Kali Ke-8 di USIM Nilai. FOTO Mohd Amin Jalil
FADHLINA (kiri) menyampaikan diploma secara anumerta kepada Aminah bagi pihak anaknya, Nur Adlina pada Majlis Konvokesyen Kolej Vokasional Kali Ke-8 di USIM Nilai. FOTO Mohd Amin Jalil
Mohd Amin Jalil

Nilai: "Diploma ini akan jadi kenangan buat kami kerana arwah anak yang baik dan cerdik," kata Aminah Shahdan, 46, yang menerima diploma bagi pihak anaknya Nur Adlina Anuar, 20, yang meninggal dunia 25 Disember lalu.

Nur Adlina disenarai antara 6,616 graduan yang menerima diploma masing-masing pada Majlis Konvokesyen Kolej Vokasional (KV) berlangsung di Dewan Tuanku Canselor Universiti Sains Islam Malaysia (Usim) selama lima hari bermula hari ini.

Sesi pembukaan itu yang bertukar pilu selepas Aminah dan suaminya, Anuar Ahmad, 49, mengambil sijil anak mereka, disempurnakan Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek.

Menurut Aminah, Nur Adlina meninggal dunia selepas terbabit kemalangan jalan raya ketika dalam perjalanan pulang ke rumah di Sungai Petani.

Katanya, arwah mahu melakukan kejutan dengan pulang ke rumah selepas bekerja sebagai pembantu wad di Hospital Pulau Pinang dan dia menunggang motosikal.

"Biasanya arwah balik rumah (Sungai Petani) pada hujung minggu saja, tapi sudah ditakdirkan hari itu (25 Disember, Isnin) dia pulang dan terbabit dalam kemalangan.

"Walaupun kami sekeluarga kehilangan anak kesayangan dan perempuan tunggal, tapi kami reda dengan ketentuan takdir Ilahi," katanya yang memberitahu Nur Adlina adalah anak sulung daripada dua beradik dan pelajar cemerlang KV Sungai Petani 2.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Mac 2024 @ 4:07 PM