Taman Jujur, dekat Sikamat, di sini, yang mendapat jolokan 'Kampung Rohingya' atau 'Kampung Burma' digempur pihak berkuasa malam tadi. Foto Ahmad Hasbi
Taman Jujur, dekat Sikamat, di sini, yang mendapat jolokan 'Kampung Rohingya' atau 'Kampung Burma' digempur pihak berkuasa malam tadi. Foto Ahmad Hasbi
Ahmad Hasbi


Seremban: Taman Jujur, dekat Sikamat, di sini, yang mendapat jolokan 'Kampung Rohingya' atau 'Kampung Burma' digempur pihak berkuasa malam tadi.

Difahamkan, terdapat tiga generasi etnik Rohingya yang menetap di kawasan itu sekali gus kebanjiran mereka membuatkan penduduk tempatan keresahan terutama membabitkan keselamatan.

Timbalan Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Abd Khalid Othman berkata, operasi yang bermula jam 10 malam itu menyaksikan seramai 340 warga asing diperiksa di kawasan taman perumahan itu.

"Mereka yang diperiksa terdiri daripada 335 etnik Rohingya, tiga warga Indonesia dan dua warga Bangladesh.

"Hasil pemeriksaan kami mendapati 24 etnik Rohingya membabitkan 15 lelaki, enam wanita dan tiga kanak-kanak tiada dokumen pengenalan diri manakala baki kebanyakannya mempunyai kad UNHCR," katanya ketika ditemui, sejurus operasi tamat.

Tambah beliau, turut ditahan adalah tiga lelaki warga Indonesia dan dua lelaki Bangladesh kerana dikesan melakukan kesalahan mengikut Seksyen 15 (1) (C) iaitu tinggal lebih masa.

"Tangkapan akan dibawa ke Pejabat Unit Tindakan Imigresen, Senawang, dekat sini untuk pemeriksaan lanjut sebelum dihantar ke Depo Tahanan Imigresen Lenggeng.

"Operasi bersepadu ini dijalankan dengan kerjasama Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan Majlis Bandaraya Seremban (MBS)," katanya.

Mengulas mengenai kebanjiran etnik Rohingya di kawasan berkenaan, beliau berkata, operasi berkenaan dijalankan susulan aduan penduduk yang tidak selesa dengan kehadiran mereka.

"Difahamkan mereka berkampung di sini sejak 90-an dan sehingga kini terdapat tiga generasi etnik itu di sini. Kegiatan mereka yang berkumpul secara beramai-ramai membuatkan penduduk gelisah.

"Operasi ini juga bagi mengesan jika berlaku kegiatan jenayah dan pihak JIM sudah dalam masa sama cuba mengesan saki baki mereka yang terlepas di Bidor, Perak, baru-baru ini," katanya.

CAPTION: SEREMBAN 1 MAC 2024. Taman Jujur, dekat Sikamat, di sini, yang mendapat jolokan 'Kampung Rohingya' atau 'Kampung Burma' digempur pihak berkuasa malam tadi. Foto Ahmad Hasbi.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Mac 2024 @ 12:51 PM