MOHAMAD Jasmi Abdul Wahab yang dituduh mendera anak lelakinya berusia tujuh tahun. FOTO Hazreen Mohamad
MOHAMAD Jasmi Abdul Wahab yang dituduh mendera anak lelakinya berusia tujuh tahun. FOTO Hazreen Mohamad
Oleh Raja Noraina Raja Rahim

Seremban: Seorang bapa mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan mendera anak lelakinya berusia tujuh tahun di Mahkamah Majistret di sini, pagi tadi.

Tertuduh, Mohamad Jasmi Abdul Wahab, 37, membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa di depan Majistret Mohamad Izwan Mohamed Noh.

Mengikut pertuduhan, Mohamad Jasmi menganiayai dan menyebabkan kecederaan fizikal terhadap anaknya berusia tujuh tahun di sebuah rumah di Lorong Jujur Kiri 2, Taman Jujur, Sikamat, antara 10 pagi hingga 10.50 pagi pada 4 Februari lalu

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM20,000 atau penjara sehingga 10 tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Mahkamah bagaimanapun membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 11 Mac depan bagi sebutan semula kes.

Pada 6 Februari lalu, Harian Metro melaporkan, polis menahan seorang lelaki di Taman Jujur, Sikamat, di sini, selepas dipercayai mendera anak lelakinya dengan kejam termasuk memukul mangsa dengan tali pinggang.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Februari 2015 @ 12:14 PM