NUR Hidayah Zahid Hussin, 8, dilaporkan hilang dipercayai mengikut kakaknya berusia 13 tahun keluar dari rumah di Taman Jujur, Sikamat, sejak Ahad lalu. FOTO Ihsan Pembaca
NUR Hidayah Zahid Hussin, 8, dilaporkan hilang dipercayai mengikut kakaknya berusia 13 tahun keluar dari rumah di Taman Jujur, Sikamat, sejak Ahad lalu. FOTO Ihsan Pembaca
Raja Noraina Raja Rahim


DUA beradik perempuan dilaporkan hilang selepas keluar dari rumah sewa ibunya di Taman Jujur, Sikamat, Seremban pada Ahad lalu.

Mangsa Nur Hidayah Zahid Hussin, 8, dipercayai keluar rumah dengan mengikut kakaknya berusia 13 tahun, jam 1.30 tengah hari.

Timbalan Ketua Polis Daerah Seremban, Superintendan Mohd Rosli Ishak berkata, polis menerima laporan daripada ibu mangsa iaitu wanita Rohingya berusia 31 tahun, kelmarin.

Menurutnya, wanita itu mendakwa sudah mencari anaknya di sekitar kawasan serta berhubung dengan saudara-mara tetapi kedua-dua anaknya itu gagal dikesan.

“Siasatan polis setakat ini mendapati kedua-dua mangsa keluar dari rumah dengan membawa beg sekolah yang diisi pakaian.

“Mereka dipercayai melarikan diri selepas ditegur ibu kerana tidak membantu mengemas rumah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohd Rosli berkata, polis kini sedang giat mengesan dua beradik terbabit dan kes diklasifikasi sebagai orang hilang.

Beliau meminta orang ramai yang menjumpai dua beradik itu supaya menyerahkan ke balai polis berdekatan atau menghubungi Pegawai Penyiasat, Sarjan Mejar Ahmad Fauzi Othaman di talian 06-6033222.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 April 2019 @ 8:06 PM