EMPAT belas  ekor lembu yang dikorbankan  diagihkan kepada masyarakat Rohingya  pada Program Misi Qurban untuk Ummah anjuran MAPIM, semalam.
EMPAT belas ekor lembu yang dikorbankan diagihkan kepada masyarakat Rohingya pada Program Misi Qurban untuk Ummah anjuran MAPIM, semalam.
Mohd Amin Jalil


Seremban: Sebanyak 14 lembu dikorbankan sempena Aidiladha dan diagihkan kepada masyarakat Rohingya di sekitar negeri ini dan Melaka pada program di Taman Jujur Sikamat, semalam.

Program Misi Qurban untuk Ummah anjuran Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) bagi membolehkan komuniti Rohingya meraikan sama perayaan berkenaan.

Penolong Penyelaras Mapim Negeri Sembilan, Mohd Shukri Othman berkata, binatang korban itu sumbangan Turkey Diyanet Vakfi (TDV).

“Tidak kira dari negara mana mereka datang, wajarlah kita membantu saudara seagama. Tambahan pula mereka di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Pelarian (UNCHR),” katanya.

Mohd Shukri berkata, sokongan masyarakat penting bagi memastikan warga Rohingya tidak terbabit jenayah akibat desakan hidup.

“Perkara utama adalah warga Rohingya mematuhi undang-undang negara. Buat masa ini, tiada laporan mengenai jenayah dilakukan mereka di negeri ini,” katanya ditemui selepas mengagihkan daging korban kepada 250 keluarga Rohingya, semalam.

Beliau berkata, nasib malang menimpa puluhan ribu umat Islam Rohingya ketika ini apabila dizalimi di Myanmar.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 September 2017 @ 10:17 AM