AB Halim, gambar fail. FOTO NSTP
AB Halim, gambar fail. FOTO NSTP
Ruwaida Md Zain


Shah Alam: Pesuruhjaya Pas Selangor Datuk Dr Ab Halim Tamuri mengesahkan menerima surat dari Istana Selangor yang disampaikan melalui Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Muhamad Munir Bani.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Paya Jaras itu hanya mengesahkan surat diterima sebagaimana tarikh pada surat iaitu 27 Februari lalu, namun enggan mengulas lanjut.

"Tiada Komen. Saya tidak boleh komen, terima kasih," katanya ringkas kepada pemberita di luar Dewan selepas Sidang Dewan Undangan Negeri (Dun) Selangor ditangguhkan petang tadi.

Tindakan Ab Halim yang didakwa berdiam diri tanpa memberi sebarang kenyataan berhubung perkara itu turut dipertikaikan oleh beberapa Adun parti kerajaan termasuk Adun Seri Sedang, Abbas Salimmi Che Adzmi; Adun Batu Tiga, Danial Al-Rashid juga Adun Kota Damansara, Muhammad Izuan Ahmad Kasim.

"Sepatutnya sebagai Adun yang berada dalam negeri Selangor, beliau kena respons cepat mengenai isu ini...bukan dibiarkan sampai dua tiga hari begini.

"Kekesalan kami Adun Paya Jaras tidak buat apa respons pun ke atas surat yang dikeluarkan oleh istana," kata Abbas dalam sidang media, petang tadi.

Harian Metro hari ini melaporkan antara kandungan surat itu, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan dukacita dengan kenyataan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang ditujukan kepada alim ulama, peguam, hakim, ahli-ahli parlimen dan Dewan Undangan Negeri serta Raja-Raja Melayu.

Kenyataan yang dikeluarkan oleh Abdul Hadi itu bertajuk Ketinggian Islam Wajib Dipertahankan pada 20 Februari lalu di portal berita pas.org.my.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Februari 2024 @ 7:16 PM