Balqis Jazimah Zahari


Ipoh: Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang tiba memasuki perkarangan Istana Kinta bagi menghadap Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

Abdul Hadi tiba dengan menaiki kenderaan jenis Mercedes warna kelabu pada jam 10.50 pagi.

Sebelum ini, Abdul Hadi dilaporkan menghantar surat kepada Istana Perak pada Khamis lalu bagi menghadap Sultan Perak untuk memaklumkan kepada baginda mengenai "situasi politik membabitkan PAS."

Pada Selasa lalu, Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria diarahkan untuk tidak menghadap Sultan Perak di Istana Kinta.

Razman sepatutnya menghadap Sultan Perak pada jam 3 petang, selepas dipanggil bersama-sama dengan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) parti lain susulan krisis politik di negeri itu.

Berikutan itu, pada Jumaat lalu, Razman membuat permohonan maaf secara rasmi kepada Sultan Perak kerana tidak menghadap baginda seperti yang dititahkan pada Selasa lalu.

Beliau menzahirkan kekesalannya melalui satu sidang media khas.

Yang turut hadir, ADUN Selama, Mohd Akmal Kamaruddin dan ADUN Kubu Gajah, Khalil Yahaya.

PAS Perak turut menghantar surat permohonan maaf kepada Sultan Perak selepas sidang media itu.

KENDERAAN yang membawa Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang tiba di perkarangan pintu masuk Istana Kinta, Ipoh. FOTO HAZREEN MOHAMAD
KENDERAAN yang membawa Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang tiba di perkarangan pintu masuk Istana Kinta, Ipoh. FOTO HAZREEN MOHAMAD

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Disember 2020 @ 11:17 AM