LAPORAN Harian Metro sebelum ini
LAPORAN Harian Metro sebelum ini
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Kertas siasatan terhadap Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berhubung kenyataan bertajuk 'Ketinggian Islam wajib dipertahankan' yang disiarkan pada 20 Februari lalu sudah dihantar kepada pejabat Peguam Negara.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, pihaknya sudah melengkapkan kertas siasatan berhubung kes terbabit.

"Abdul Hadi sudah dirakam percakapan pada Selasa lalu oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.

"Kertas siasatan sudah dilengkapkan dan kita sudah hantar pada AGC (pejabat Peguam Negara), kelmarin untuk tindakan lanjut," katanya ketika dihubungi hari ini.

Razarudin berkata, pihaknya sedang menunggu arahan daripada AGC berhubung kes terbabit.

Katanya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Selasa lalu, media melaporkan Abdul Hadi dirakam keterangan pada 2.19 petang di ibu pejabat Pas di Jalan Raja Laut di sini.

Pada 29 Februari lalu, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan rasa dukacita dengan kenyataan Abdul Hadi yang dipercayai ditujukan kepada alim ulama, peguam, hakim, Ahli Parlimen dan Dewan Undangan Negeri serta Raja-Raja Melayu.

Setiausaha Sulit Sultan Sharafuddin Datuk Muhamad Munir Bani memaklumkan Sultan Sharafuddin menyifatkan Abdul Hadi tidak membaca secara menyeluruh dan mendalam titah ucapan baginda semasa Mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam pada 15 Februari lalu.

Susulan itu, baginda berkenan mengutus surat kepada Abdul Hadi menerusi Pesuruhjaya Pas Negeri Selangor Datuk Dr Ab Halim Tamuri.

Surat lima halaman itu antara lain menyebut kenyataan Abdul Hadi bukan saja mengelirukan malah boleh membawa kegelisahan yang akhirnya boleh menjurus kepada perpecahan perpaduan umat Islam khususnya dalam kalangan orang Melayu di negara ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Mac 2024 @ 2:24 PM