SHAHARUDDIN M Saaid. FOTO arkib NSTP
SHAHARUDDIN M Saaid. FOTO arkib NSTP
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Kira-kira 50 peratus hotel termasuk bertaraf lima bintang diramal gulung tikar jika tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 hingga 18 Februari ini dilanjutkan.

Berdasarkan statistik Tabung Pembangunan Sumber Manusia (HRDF), sebanyak 287 hotel ditutup dan 5,265 pekerja diberhentikan sejak Januari 2020 hingga 2 Februari lalu.

Pengarah Eksekutif Persatuan Pemilik Hotel Malaysia (MAHO) Shaharuddin M Saaid berkata, industri perhotelan hanya mampu bertahan hingga penghujung bulan ini.

Beliau berkata, pengusaha mengalami kemerosotan pendapatan apabila hotel tidak dibuka kepada pelanggan sepanjang PKP namun perlu menanggung kos operasi dan hutang.

Menurutnya, kos operasi itu meliputi perbelanjaan seperti bil elektrik, air, pembentungan dan cukai termasuk bagi memperbaharui lesen serta membayar gaji pekerja.

"Walaupun kerajaan membenarkan hotel beroperasi sepanjang PKP tetapi kami tidak boleh menerima tetamu, begitu juga makan di restoran hotel.

"Apa lagi yang boleh kami lakukan untuk menjana pendapatan sedangkan kos operasi perlu ditanggung dan pekerja perlu dibayar gaji.

"Ekoran itu, ada pengusaha terpaksa mengambil langkah mengecilkan atau menutup sementara operasi termasuk memberhentikan pekerja," katanya ketika dihubungi hari ini.

Mengulas lanjut, Shaharuddin berkata, industri perhotelan kini sedang bergelut untuk terus bertahan demi kelangsungan perniagaan dan pendapatan seluruh kakitangan.

Justeru, beliau mencadangkan supaya kerajaan membenarkan hotel beroperasi seperti ketika Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

"Kami terima jika ada tambahan SOP dan akan mematuhi setiap peraturan ditetapkan.

"Ia sudah dibuktikan semasa PKPP sebelum ini di mana walaupun dibenarkan beroperasi dengan jumlah pengunjung terhad tetapi dapat membantu memulihkan industri," katanya.

Menurutnya, MAHO juga mahu kerajaan mempertimbangkan permohonan tambahan bantuan dan diskaun elektrik serta cukai dilanjutkan kepada sektor perhotelan.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Februari 2021 @ 2:33 PM