PRESIDEN Persatuan Pemilik Hotel Malaysia, Tan Sri Teo Chiang Hong (duduk, tengah) bersama tetamu pada Majlis Sambutan Aidilfitri MAHO, semalam.
PRESIDEN Persatuan Pemilik Hotel Malaysia, Tan Sri Teo Chiang Hong (duduk, tengah) bersama tetamu pada Majlis Sambutan Aidilfitri MAHO, semalam.
Sofyan Rizal Ishak

Kuala Lumpur: Persatuan Pemilik Hotel Malaysia (MAHO) berharap kerajaan menyemak semula pelaksanaan cukai pelancongan yang dimulakan pada September tahun lalu bagi memastikan industri perhotelan negara dapat mencatatkan pertumbuhan lebih baik dan kekal berdaya saing di pasaran.

Naib Presidennya, Robert Chong Shao Siew berkata, cukai terbabit dilihat memberi masalah kepada industri di mana ia menyebabkan pelancong asing perlu membayar kos yang lebih mahal jika menginap lama di sesebuah hotel.

“Saya lihat pelaksanaan cukai ini seperti menghalang seseorang pelancong asing dan korporat untuk menginap lebih lama dan ia bukanlah satu cara yang baik untuk menarik kunjungan lebih ramai pelancong ke negara ini,” katanya pada Majlis Sambutan Aidilfitri MAHO di sini, semalam.

Beliau berkata, pelaksanaan cukai itu juga memberi impak kepada ejen pelancongan dalam talian (OTA) kerana pelancong perlu membayar harga penginapan yang berbeza tidak seperti yang ditawarkan ketika mereka melakukan tempahan secara atas talian.

“Perkara ini membuatkan kadar terbabit menjadi tidak tepat dan memberi reputasi buruk kepada industri perhotelan tempatan serta menjadikan industri dilihat tidak telus,” katanya.

Beliau berkata, MAHO menyarankan kerajaan melaksanakan cukai keluar kepada pelancong asing jika mereka mahu menjana lebih banyak pendapatan melalui industri perhotelan negara.

“Cukai ini dilihat lebih adil kepada semua pihak berbanding cukai pelancongan yang berat sebelah kerana tidak semua jenis hotel dikenakan cukai itu sekali gus mewujudkan jurang dalam bidang perhotelan negara,” katanya.

Cukai pelancongan mula diperkenalkan kerajaan pada 1 September 2017 pada kadar RM10 bagi setiap bilik untuk satu malam bagi pelancong asing.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Julai 2018 @ 11:31 AM