GAMBAR fail, sekadar hiasan. FOTO NSTP
GAMBAR fail, sekadar hiasan. FOTO NSTP
Raja Noraina Raja Rahim dan Nur Ika Khairani Azmi


Kuala Lumpur: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan melakukan pemantauan di bazar Ramadan bagi memastikan peniaga tidak mengambil kesempatan terhadap pengguna.

Timbalan Ketua Pengarah Penguat Kuasa (Operasi) KPDN, Shamsul Nizam Khalil berkata, setiap tahun pihaknya menjalankan pemantauan menerusi operasi khas dilaksanakan di bazar Ramadan.

"Pegawai penguat kuasa KPDN akan melakukan pemantauan secara menyeluruh di bazar Ramadan di seluruh negara sepanjang bazar beroperasi.

"Pemantauan itu bagi memastikan peniaga mempamerkan tanda harga pada barang jualan, tanda harga yang jelas, menggunakan alat timbang ditentu sah dan tidak menjual barangan tiruan," katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Beliau berkata, pihaknya dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan (PBT) juga akan mengadakan pertemuan dengan peniaga bazar Ramadan dalam masa terdekat.

Katanya, pertemuan itu bagi memberikan penerangan kepada peniaga terbabit supaya tidak melakukan kesalahan.

Selain itu, Shamsul Nizam berkata, harga jualan di bazar Ramadan tidak munasabah yang sering menjadi isu di kalangan pengguna turut akan dipantau bagi memastikan tiada peniaga melakukan pencatutan.

Katanya, peniaga yang meletakkan harga tinggi boleh dikenakan tindakan mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Februari 2024 @ 2:46 PM