Juwan Riduan


POLIS merampas pelbagai jenis minuman keras dipercayai diseludup masuk ke negeri ini yang dianggarkan bernilai RM2.3 juta selepas cukai dalam tiga serbuan berasingan di Kota Kinabalu dan Tuaran, pada 23 Jun hingga 29 Jun lalu.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Zaini Jass berkata, serbuan itu membabitkan rampasan tujuh buah kontena berisi 18,320 kotak minuman keras pelbagai jenama.

"Sepanjang minggu lalu antara 23 hingga 29 Jun lalu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) Sabah melancarkan beberapa siri serbuan membabitkan rampasan sejumlah tujuh buah kontena berisi muatan 18,320 kotak minuman keras pelbagai jenama dipercayai tanpa cukai kastam bernilai RM1,902,293, sebelum cukai.

"Dalam serbuan itu, seramai tujuh individu turut ditahan bagi membantu siasatan berkaitan kes berkenaan," katanya dalam sidang media selepas Majlis Pelupusan Barang Kes Mesin Perjuduan di Stor Barang Kes Berpusat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Mazli Mazlan; Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sabah, Datuk Jauteh Dikun; Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji.

Mengulas lanjut, Zaini berkata, dalam serbuan pertama sepasukan polis menyerbu sebuah gudang di Kilometer 27 Jalan Telipok Lama pada 23 Jun lalu dan berjaya menemui tiga kontena berisi 8,040 kotak minuman pelbagai jenis.

 Zaini (tiga dari kiri) menunjukkan kotak berisi minuman keras dalam sidang media di Stor Barang Kes Berpusat IPD Kota Kinabalu, hari ini.  FOTO JUWAN RIDUAN
Zaini (tiga dari kiri) menunjukkan kotak berisi minuman keras dalam sidang media di Stor Barang Kes Berpusat IPD Kota Kinabalu, hari ini. FOTO JUWAN RIDUAN

"Dalam serbuan itu polis menahan dua lelaki yang berperanan sebagai penjaga dan penyelia gudang berkenaan.

"Dalam serbuan kedua pada 29 Jun lalu sepasukan polis daripada Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah menyerbu sebuah kontena yang diletakkan di kawasan lapang di Jalan Kilang Kolombong dan hasil pemeriksaan mendapati sebanyak 2,600 kotak minuman keras di dalam kontena berkenaan.

"Bagaimanapun tiada tangkapan dibuat ketika serbuan berkenaan," katanya.

Tambah beliau lagi, dalam serbuan ketiga yang juga pada 29 Jun lalu, sepasukan polis daripada Jabatan Siasatan Jenayah IPK Sabah membuat serbuan di tapak penyimpanan kontena di Jalan Tuaran Bypass.

"Dalam serbuan itu polis merampas tiga kontena berisi 7,680 kotak minuman keras pelbagai jenis dan polis turut menahan lima individu termasuk seorang wanita bagi membantu siasatan berhubung kes berkenaan.

"Semua minuman keras itu dipercayai diseludup masuk daripada luar negara dan semua kes berkenaan dipercayai mempunyai kaitan. Namun, siasatan lanjut masih dijalankan," katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d), Akta Kastam 1967 dan Seksyen 135(1)(e), akta sama.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Julai 2020 @ 2:27 PM