KEADAAN salah satu laluan utama yang digenangi banjir di Kota Kinabalu. FOTO Ihsan Pembaca
KEADAAN salah satu laluan utama yang digenangi banjir di Kota Kinabalu. FOTO Ihsan Pembaca
Juwan Riduan


Kota Kinabalu: Hujan lebat bermula sejak pagi menyebabkan beberapa kawasan sekitar ibu negeri dilanda banjir kilat, hari ini.

Antara kawasan terbabit termasuklah Telipok, Inanam, Likas, Sepanggar, Indah Permai, Kolombong, Luyang, jalan masuk ke Hospital Queen Elizabeth (HQE1) serta kawasan perumahan dan pusat komersial sekitar sini.

Keadaan banjir kilat turut mengganggu pergerakan lalu lintas di beberapa laluan utama terutama di Jalan Tuaran Bypass.

Sementara itu Jabatan Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah dalam kenyataan di laman sosial rasmi memaklumkan sepasukan anggota digerakkan ke lokasi banjir bagi membantu memulihkan keadaan lalu lintas di kawasan terjejas.

Katanya sebaik menerima maklumat berlaku kesesakan lalu lintas di Jalan Lintas Kelansanan akibat dinaiki air, anggota trafik yang membuat pemantauan di sekitar Kota Kinabalu segera ke lokasi bagi mengawal lalu lintas.

"Dalam keadaan hujan lebat, anggota trafik tetap berdiri teguh bagi memastikan aliran trafik kembali lancar.

"Pengguna jalan raya dinasihatkan supaya lebih berhati-hati terutamanya ketika memandu dalam keadaan permukaan jalan yang basah dan licin susulan keadaan cuaca sekarang yang kerap hujan terutama pada sebelah petang dan malam," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Julai 2023 @ 8:20 PM